SITI Saleha. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my

Bersandarkan bakat dan memiliki pakej lengkap, nama pelakon jelita berdarah kacukan Melayu-Inggeris, Siti Saleha, 29, terus bertahan.

Antara drama lakonannya yang meninggalkan kesan mendalam masih diingati ialah Nora Elena dan 7 Hari Mencintaiku.

Namun, selepas berkahwin, Saleha seperti jarang muncul di kaca televisyen ketika ini.

Hakikatnya, Saleha memang membataskan hanya dua projek drama dan filem dalam tempoh setahun selepas mendirikan rumah tangga.

“Ketika bujang, jadual saya memang padat dengan projek lakonan. Sebagai pelakon yang sudah memegang status isteri, saya perlu bijak membahagikan masa di antara karier dan rumah tangga supaya ia bergerak seiringan,” katanya.

Sebagai pelakon berpengalaman, Saleha juga lebih memilih setiap watak yang ditawarkan.

“Saya terpaksa memilih projek kerana banyak watak ditawarkan dalam drama sama saja dan tiada kelainan. Saya juga terbabit dengan projek drama untuk slot Samarinda tahun lalu dan drama untuk tayangan Aidilfitri nanti,” katanya.

Bercerita mengenai drama lakonannya, Jika Masih Ada Rindu yang kini ditayangkan TV3 menerusi slot Samarinda, Saleha berkata, dia terima tawaran berlakon drama bersiri 14 episod itu kerana tertarik dengan jalan ceritanya.

“Cerita itu menarik kerana kisah wanita yang membalas dendam terhadap suaminya. Saya bergandingan dengan Kamal Adli sebagai suami isteri dalam drama arahan Feroz Kader itu,” katanya.

Walaupun bergelar pelakon berpengalaman, Saleha juga menganggap dirinya masih belajar ilmu lakonan.

Terbaru, Saleha juga berguru ilmu lakonan dengan pelakon hebat Ogy Ahmad Daud untuk projek drama bersiri terbaharunya berjudul Manuskrip Cinta untuk siaran RTM.

Dalam drama bersiri 20 episod arahan Jamal Khan itu, Saleha berganding dengan Fadlan Hazim.

“Saya terima tawaran kerana skripnya yang bagus dan mahu bekerjasama dengan Jamal. Saya juga akan belajar loghat utara daripada Kak Ogy sebelum penggambaran bermula bulan depan.

“Saya melakonkan watak penulis skrip dan watak ibu pula dilakonkan Fazlina Ahmad Daud,” katanya.

Sementara itu, Saleha juga masih menanti filem lakonannya, Proxy arahan Khabir Bhatia ditayangkan tahun ini.

“Filem ini diterajui Bront Palarae, Sangeeta Krishnasamy dan ramai lagi. Saya hanya bawa watak kecil dalam filem itu,” katanya.

SITI Saleha. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam

Wakili jenama antarabangsa

Selain bidang lakonan, Saleha juga mahu mengembangkan sayapnya ke luar negara.

Malah, pelakon kelahiran Basildon, England ini kerap diundang menghadiri minggu fesyen mewakili beberapa jenama terkemuka ketika ini.

Terbaharu, Saleha baru saja pulang menghadiri pertunjukan fesyen Fall/Winter 2019 oleh pereka fesyen Tory Burch sempena New York Fashion Week di New York, Amerika Syarikat.

“Saya mewakili satu jenama bertaraf antarabangsa sempena minggu fesyen terbabit. Saya hanya ditemani pengurus sepanjang berada di New York kerana suami ada komitmen kerja di sini.

“Suami memang merestui pemergian saya ke New York kerana ia urusan kerja. Lagipun kami berdua sudah dua kali bercuti di New York sebelum ini.

“Menyusul selepas ini, saya akan mewakili satu jenama antarabangsa ke Seoul, Korea Selatan pula,” katanya.

Berbicara mengenai anak, Saleha berkata, mereka sudah bersedia menimang cahaya mata tahun ini.

“Sebelum ini, kami tidak mahu terburu-buru kerana masih dalam fasa berbulan madu lagi. Insya-Allah, jika ada rezeki, kami memang mahukan anak tahun ini,” katanya.

Saleha berkahwin dengan Ahmad Lutfi Azhar, 33, pada 28 Julai 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 6:30 AM