SHIN SUNG ROK
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


KEJAYAAN drama The Last Empress dibintangi Shin Sung Rok sebagai Maharaja Lee Hyuk menyerlahkan bakat lakonannya.

Bergandingan dengan aktres jelita dan berkaliber seperti Jang Nara membantu menaikkan populariti Sung Rok, 37.

Dalam satu wawancara Sung Rok berkata apa yang dilaluinya kini umpama mimpi indah.

Katanya, dia tidak pernah menyangka nama dan bakat lakonannya akan menjadi sebutan dalam kalangan penonton drama Korea.

“Sepanjang 15 tahun aktif sebagai pelakon saya sudah membintangi banyak drama dan filem namun The Last Empress paling mendapat perhatian.

“Maklum balas penonton sangat luar biasa hingga mendorong terhasilnya empat episod tambahan.

“Kalau ikutkan hanya ada 48 episod namun ditambah menjadi 52 dan berakhir pada 21 Februari lalu,” katanya.

Sung Rok tidak menafikan populariti Jang Nara antara sebab mengapa drama itu menjadi sebutan ramai selain jalan cerita yang bagus.


“Saya sangat mengagumi lakonan Nara. Malah, sangat senang mencari keserasian apabila berlakon dengan dia.

“Nara pelakon profesional dan sangat komited ketika bekerja. Bahkan, kami selesa berbincang dalam memahami kehendak watak masing-masing.

“Saya tidak ambil masa lama untuk serasi bergandingan dengan Nara. Begitu juga pelakon lain seperti Choi Jin Hyuk, Lee Elijah dan Shin Eun Kyung,” katanya.

Bagi meneruskan kesinambungan lakonan hebatnya, Sung Rok akan muncul dengan drama aksi terbaharu berjudul Vagabond.

Menerusi drama 40 episod itu, Sung Rok melakonkan watak Ki Tae Woong yang bertugas sebagai Ketua Pasukan Maklumat Agensi Perisikan Negara.

Ditayangkan di saluran SBS, drama menarik penuh aksi ini turut diterajui Lee Seung Gi dan Bae Suzy.

Drama Vagabond akan mula disiarkan 8 Mei ini dan sarat dengan konflik, penyiasatan, pengkhianatan dan percintaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 5:30 AM