LIMA bekas diisi penuh dengan makanan kucing selain dua bekas berisi air disediakan untuk kucing terbiar. FOTO Ruwaida Md Zain
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


PASANGAN suami isteri yang terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 325 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, berhampiran Kampung Jeram Besu, Pahang awal pagi tadi adalah pencinta kucing.

Mohd Sajury Abdullah, 63, dan isteri, Sobariah Haron, 54, meninggal dunia di tempat kejadian bersama anak angkat, Uwais AlQurney Abdullah, 6.

Tinjauan Harian Metro di rumah mangsa di Jalan Keris, Taman Rashna, Klang, mendapati terdapat tujuh bekas berisi makanan kucing dan air yang ditinggalkan di hadapan rumah.

Menurut jiran mangsa, Mohd Musa Yusof, 70, berkata, arwah dan keluarganya adalah seorang yang baik dan sering memberikan makanan kepada kucing yang terbiar di kawasan perumahannya itu.

“Memang menjadi rutin harian keluarga itu untuk memberikan makanan kucing yang terbiar di kawasan taman ini. Keluarganya itu memang pencinta kucing.

“Arwah Sajury adalah seorang yang pendiam, namun sangat disenangi oleh jiran di sini berikutan sikapnya yang sangat lemah lembut,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohd Musa berkata, ketika ini dia bersama isteri dan anaknya berada di Hospital Raub, Pahang bagi menziarahi jiran yang dianggap rakan karibnya itu.

“Kami sangat rapat berikutan arwah dan saya adalah kariah di Masjid As-Solihin Padang Jawa. Saya sudah mengenali Sajury hampir 20 tahun dan sudah macam saudara.

“Malah, seorang anaknya yang kini belajar di Mesir itu pernah dijaga oleh saya ketika waktu kecil,” katanya.

Sementara itu, jiran mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Zaihan, 36, berkata pasangan suami isteri itu sangat mementingkan pendidikan agama termasuk menghantar seorang anaknya melanjutkan pelajar di Mesir.

“Anak arwah yang kecil itu pun sudah didedahkan dengan ilmu agama, setiap petang akan kedengaran mereka sekeluarga mengaji al-Quran serta mengajar anaknya mengaji.

“Kali terakhir saya berbual dengan isterinya pada Ahad lalu ketika hendak ke tempat kerja, kami saling bertanya khabar, selain bertukar juadah makanan,” katanya yang mengenali pasangan itu kira-kira 20 tahun lalu yang mula menyewa di sebelah rumahnya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan lima maut dalam kemalangan membabitkan kereta dan bas ekspres di Kilometer 325 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu berhampiran Kampung Jeram Busu, Raub, Pahang.

Dalam kejadian 2.54 pagi itu mangsa yang maut adalah pemandu dan penumpang Proton Persona.

Selain Mohd Sajury, Sobariah dan Uwais AlQurney turut maut ialah Muhammad Faezuan Nor Izuddin, 26, dan Nur Ilham Najwa Rahimi, 20.

Berita berkaitan

Lima maut kereta rempuh bas ekspres

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 3:44 PM