Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my

LIMA maut dalam kemalangan membabitkan kereta dan bas ekspres di Kilometer 325 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu berhampiran Kampung Jeram Busu, Raub, hari ini.

Dalam kejadian 2.54 pagi itu mangsa yang maut adalah pemandu dan penumpang kereta Proton Persona.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Zahari Wan Busu berkata, mangsa yang maut adalah Mohd Sajury Abdullah, 63, Sobariah Haron, 54, Muhammad Faezuan Nor Izuddin, 26, Nur Ilham Najwa Rahimi, 20, dan Uwais AlQurney Abdullah, 6.

Katanya, kejadian berlaku apabila bas ekspres yang membawa 45 penumpang itu dalam perjalanan dari Kota Bharu menghala ke Kuala Lumpur.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Proton Persona yang dipandu Mohd Sajury hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh bas ekspres berkenaan.


LIMA penumpang termasuk pemandu kereta Proton Persona maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan bas ekspress di Jalan Raub-Kuala Lipis awal pagi tadi. FOTO Ihsan Bomba

“Akibat rempuhan itu, Proton Persona terjunam ke dalam longkang, manakala bas eskpres itu terbabas dan melanggar dua lot kedai di kiri jalan,” katanya.

Beliau berkata, lima mangsa yang berada di dalam Proton Persona maut, manakala seorang penumpang bas cedera.

Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian.

Mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital yang sama.

Wan Zahari berkata, ketika kejadian keadaan jalan adalah lurus dan kering manakala cuaca berada dalam keadaan baik.

“Kami akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bas berkenaan dan kedua-dua kenderaan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Raub untuk pemeriksaan PUSPAKOM.

“Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 9:38 AM