MOHAMAD Firdhaus Ramli di Kompleks Mahkamah Shah Alam. FOTO Sairien Nafis
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli

SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Koroner di Shah Alam, hari ini, tiada sebarang bukti pelanggaran untuk mengaitkan dua kenderaan bomba dengan manusia dalam insiden kekecohan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.

Pegawai Sains Forensik di Jabatan Kimia Malaysia, Mohamad Firdhaus Ramli berkata, pemeriksaan itu dilakukan pada jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, pada 5 Disember tahun lalu.

Saksi ke-26 inkues bagi menentukan penyebab kematian anggota bomba itu berkata, hasil analisa dilakukan mendapati tiada sebarang baju, fiber atau bukti biologi seperti rambut dan darah ditemui pada kedua-dua kenderaan berkenaan.

“Saya diarahkan oleh Pengarah Bahagian Kriminalistik di Jabatan Kimia Malaysia untuk melakukan pemeriksaan dua kenderaan itu bagimemeriksa pelanggaran dua kenderaan bomba itu dan mengenalpasti pembabitan manusia atau tidak,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Inkues, Faten Hadni Khairuddin.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati terdapat kerosakan pada FRT di bahagian belakang sisi kiri hadapan dan cermin hadapan retak.

“Manakala pemeriksaan ke atas van EMRS mendapati ada kerosakan di bahagian hadapan iaitu ada lekuk yang konsisten dengan FRT,” katanya.

FATEN: Boleh jadi atau tidak, pelanggaran kenderaan dengan manusia tanpa meninggalkan bukti fiber atau biologi?

MOHAMAD FIRDHAUS: Boleh

FATEN: Dalam keadaan terdedah dan tidak tertutup beberapa hari sebelum pemeriksaan dibuat?

MOHAMAD FIRDHAUS: Pada pendapat saya bukti biologi boleh hilang atas sebab faktor persekitaran seperti hujan. Tetapi dalam pemeriksaan.

FATEN: Menurut polis, dua kenderaan itu telah diserang perusuh menggunakan senjata dan tangan, apa yang menyebabkan DNA tidak ditemui?

MOHAMAD FIRDHAUS: Jika mengikut ilmu sains, sekiranya ada pelanggaran mesti ada sentuhan fizikal tetapi pemeriksaan saya tiada menjumpai bukti biologi.

Dalam keterangan mahkamah sebelum ini, berdasarkan teori dibuat Pasukan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) kecederaan dialami Muhammad Adib berkemungkinan disebabkan terhimpit dua kenderaan.

Muhammad Adib, yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.

Prosiding inkues bersambung esok.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 6:24 PM