SLIM RIVER 25 MAC 2019. Dua maut dalam kemalangan membabitkan dua lori tangki membawa muatan getah dengan sebuah treler di Kilometer 379.8, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara. STR/ROSMAN SAMSUDIN
Rosman Shamsudin
cnews@nstp.com.my


SLIM RIVER: “Saya dapat rasakan yang abang (Mohamad Khirulafifi Abu Bakar, 26) berkelakuan pelik pada malam Sabtu lalu apabila dia ajak saya dan seorang lagi abang bersembang hingga jam 3 pagi.

“Memang pertama kali kami bersembang panjang kerana sebelum ini abang pendiam dan keluar rumah selepas pulang bekerja namun malam Sabtu lalu dia tidak keluar,” kata Mohamad Khairulwajihuddin Abu Bakar, 21.

Mohamad Khairulwajihuddin, adik kepada Mohamad Khirulafifi yang maut bersama bapanya Abu Bakar Ahmad, 58, selepas kedua-dua mereka dirempuh treler di Kilometer 379.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, dua beranak itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

Siasatan awal mendapati mereka yang memandu lori tangki membawa muatan susu getah, berhenti di lorong kecemasan.

Difahamkan, Abu Bakar memberhentikan lorinya bagi memberikan bantuan selepas lori anaknya itu mengalami kerosakan.


DUA maut dalam kemalangan membabitkan dua lori tangki membawa muatan getah dengan sebuah treler di Kilometer 379.8, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara. Gambar kecil, Mohamad Khirulafifi.

Kedua-dua mereka dirempuh treler ketika turun untuk memeriksa kerosakan lori berkenaan.

Mohamad Khairulwajihuddin berkata pada malam Sabtu lalu, abangnya begitu ramah sekali dan mengajak dirinya serta seorang lagi abangnya, Mohamad Khirulazran, 25, yang sudah hendak tidur berbual.

“Selepas kami berbual hingga jam 3 pagi, arwah sempat berpesan supaya kami duduk di rumah elok-elok.

“Selepas itu dia menyuruh saya tutup pintu rumah. Saya tidak sangka keramahannya itu petunjuk dia akan pergi selama-lamanya,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Khirulazran berkata, selepas kematian ibu, ayah dan abangnya itu yang menguruskan keluarga.

Ketika kejadian mereka dipercayai dalam perjalanan dari Senawang, Negeri Sembilan ke pejabat mereka di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Ayah sudah lebih 15 tahun bekerja sebagai pemandu lori selepas bersara daripada tentera manakala abang baru lima tahun bekerja bekerja di tempat sama dengan ayah.

“Ini kali ketiga ayah kemalangan dan sebelum ini ayah pernah berkata kalau kali ketiga kemalangan mungkin belum tentu selamat.

“Ayah seperti tahu dia akan meninggal dunia dalam kemalangan,” katanya.

Jenazah dua beranak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang, Kuala Pegang, Baling selepas solat Asar.

Berita berkaitan

Dua beranak ajal bersama

2 maut nahas lori tangki, treler

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 6:30 AM