Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my

TIGA beranak maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 55 Jalan Nenasi-Rompin berhampiran Kampung Badong, hari ini.

Dalam kejadian 9.45 pagi itu, mangsa yang maut adalah Nor Hasidah Asbullah, 32, dan dua anaknya, Nur Auni Athirah Kamaruddin, 8, dan Muhammad Iffat Rizqi Kamaruddin, 2.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek berkata, kemalangan itu membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan lori membawa ais.

Katanya, ketika kejadian Perodua dinaiki lima beranak itu dalam perjalanan dari Pasir Gudang, Johor untuk pulang ke kampung mereka di Ajil, Terengganu.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, MPV dipandu Kamaruddin Mohd Zin, 33, hilang kawalan dan berpusing ketika melalui kawasan berselekoh hingga menyebabkan kenderaan itu memasuki laluan bertentangan dalam keadaan melintang sebelum melanggar lori ais.


TIGA bearanak maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan lori. FOTO ihsan Bomba

“MPV itu kemudiannya terjunam ke dalam parit dan tiga mangsa tercampak dari kenderaan itu dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Kamarudin dan seorang lagi anaknya, Nur Syadni Syakirah, 3, parah dan menerima rawatan di Hospital Rompin.

Amran berkata, pemandu lori ais, Mohd Saiful Bahari Berahim dan kelindannya, Mohd Fazieran Rozinor turut cedera dan menerima rawatan di hospital yang sama.

Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 4:02 PM