Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


TARIKH 9 Mei depan akan menjadi penentu kepada hak penjagaan dua anak yatim iaitu anak mangsa kemalangan maut Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) tiga tahun lalu, sama ada tinggal dengan nenek atau ibu saudara mereka.

Tarikh itu ditetapkan oleh pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Hadi Hamat selepas kes itu disebut semula di dalam kamarnya di Kuala Lumpur.

Peguam syarie, Mahyuddin Md Zahari yang mewakili ibu saudara kepada dua kanak-kanak itu, Yusnidah Hussain ketika ditemui berkata, tarikh itu ditetapkan oleh mahkamah bagi membolehkan Hakim Syarie baru meneliti keterangan perbicaraan dan rayuan kes itu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Pada tarikh 9 Mei ini, dua beradik ini akan memberi keterangan dan mahkamah akan membuat keputusan atas permohonan hadanah (hak penjagaan ini).

“Sebelum ini, nenek kepada kanak-kanak ini, Wirda Syamsuddin ada mengemukakan permohonan semakan supaya mahkamah tidak memanggil kedua-dua kanak kanak itu untuk memberi keterangan dan menyebabkan kes itu berlarutan,” katanya.


MAHKAMAH Tinggi Syariah menetapkan 9 Mei depan sebagai keputusan hadanah dua kanak-kanak yang kematian ibu bapa dalam kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) pada Mei 2015, berhubung pilihan mereka untuk tinggal dengan nenek, Wirda Syamsuddin atau ibu saudara, Yusnidah Hussain di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. FOTO Rosela Ismail

Namun katanya, Mahkamah Tinggi sudah menolak permohonan Wirda yang diwakili peguam syarie Yusfa Hanis Yusoff pada 15 Februari lalu.

Pada April 2018, Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad membenarkan permohonan Wirda, 56, yang memfailkan notis permohonan semakan terhadap keputusan Hakim Syarie Muhamad Abdul Karim Wahab pada 15 Mac 2018 untuk memanggil Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 11, dan Nur Firuza Aqila Fairuz Nizam, 8, bagi memberikan keterangan mereka.

Permohonan semakan itu difailkan di Mahkamah Rayuan Syariah pada 22 Mac 2018.

Pada 11 Ogos 2015, Yusnidah, 51, diberikan hak penjagaan sementara ke atas dua kanak-kanak berkenaan.

Yusnidah memfailkan permohonan hadanah pada 2 Jun 2015 mengikut Seksyen 81 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan menamakan Wirda sebagai defendan.

Dalam kejadian pada 2 Mei 2015, Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka Nur Firuza Annisa, enam bulan, maut dalam nahas jalan raya semasa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Muda, Batu Caves, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 1:13 PM