ANTARA drama lakonannya yang mendapat perhatian peminat hiburan tempatan adalah Halalkan Hati Yang Kau Curi dan Mawar Murni. -FOTO: Aziah Azmee
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


USAH diungkit lagi episod hitam yang pernah melanda hidupnya empat tahun lalu.

Bagi pelakon jelita dan tinggi lampai, Mimi Lana, 24, dia kini sudah melupakan ‘tragedi’ itu dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Banyak yang saya pelajari daripada episod hitam itu sekali gus semakin matang terutama dalam pergaulan.

“Kini, saya hanya mahu fokus pada kerjaya seni saja. Selepas selesai penggambaran drama, saya akan terus pulang ke rumah dan berehat.

“Sokongan padu keluarga banyak memberi kekuatan dan semangat ketika berdepan kontroversi sebelum ini,” katanya. Selepas kontroversi yang melanda, kata pemilik nama sebenar, Mimi Roziana Zainal Abidin ini berkata dia sangat bersyukur kerana masih mendapat kepercayaan syarikat produksi dan stesen TV.

Menurut pelakon yang dikenali menerusi drama rantaian Ku Tinggal Cinta Di Okinawa itu dia juga tidak kisah namanya lambat naik berbanding rakan seperjuangan seperti pelakon popular Janna Nick dan Mira Filzah.

“Saya akui nama belum ada dalam senarai artis popular walaupun sudah lima tahun berlakon. Saya lebih suka mengikut arus dan melihat populariti sebagai bonus kerana apa yang penting mahu nama dikenali kerana bakat dan hasil kerja dipertaruhkan.

“Saya juga percaya jika bekerja keras dan ikhlas dengan apa yang dilakukan, insya-Allah rezeki akan sentiasa ada serta pasti menempa kejayaan,” katanya.

Antara drama lakonannya yang mendapat perhatian peminat hiburan tempatan adalah Halalkan Hati Yang Kau Curi dan Mawar Murni.

Terkini, Mimi bakal terbabit dalam drama 15 episod, Cari Aku Di Syurga arahan Shahrulezad Mohamedin untuk Slot Samarinda TV3 pada Ramadan nanti. Dalam drama itu Mimi bakal bergandingan dengan Ariel Zafrel dan Janna Nick.

“Saya terima tawaran ini kerana karakter ditawarkan berbeza daripada apa yang pernah dibawa sebelum ini. Saya tidak kisah berlakon watak pembantu asalkan ia penting untuk menghidupkan jalan cerita. Saya melakonkan watak gadis bertudung yang banyak menangis dan bermain emosi.

“Saya juga tidak ada masalah berganding dengan Ariel dan Janna kerana pernah bekerjasama dengan mereka dalam drama sebelum ini,” katanya.

Mimi berkata, dia juga lebih selesa berlakon dalam projek telefilem berbanding drama bersiri yang mengambil tempoh yang panjang.

“Saya banyak melakonkan watak utama dalam beberapa projek telefilem tahun lalu. Kali ini, saya mahu fokus menjayakan drama bersiri Cari Aku Di Syurga terlebih dulu sebelum menerima tawaran projek lain.

“Saya juga mahu berlakon dalam naskhah yang beri kesan mendalam kepada peminat. Contohnya, lakonan dalam Telefilem Neraka Kasih Maisara arahan Along Kamaludin yang masih diingati peminat sampai hari ini,” katanya.

Berguru dengan Fauziah Nawi

Walaupun sudah lebih lima tahun berlakon, Mimi menganggap dirinya masih dalam proses belajar.

Menurut Mimi, dia cepat berasa bosan jika berada terlalu lama di lokasi penggambaran.

“Jika melakonkan watak utama dalam drama bersiri, saya perlu berada di lokasi penggambaran selama tiga bulan.

“Selepas selesai projek drama yang panjang, saya akan berehat dua bulan untuk mengikuti kelas lakonan dengan ibu Fauziah Nawi dan pengarah Isma Aizal Yusof. Saya juga sangat bersemangat untuk menimba ilmu lakonan ketika ini.

“Selain kelas lakonan, saya turut mengisi masa dengan memenuhi tawaran peragaan,” katanya.

Ditanya impiannya pula, Mimi berkata dia mahu mencuba nasib di layar lebar.

“Insya-Allah, saya dapat tawaran beraksi dalam filem selepas Aidilfitri nanti. Kalau tanya watak impian, saya mahu beraksi dalam cerita epik seperti Puteri Gunung Ledang dan apa saja yang klasik.

“Namun, buat masa ini saya terima apa saja watak ditawarkan dalam filem untuk mencari pengalaman. Antara pengarah yang saya mahu bekerja di layar perak ialah Razaisham Rashid dan Osman Ali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 5:00 AM