AIN Arjuna membuat panggilan aduan kepada GSC Helpline ketika lawatan ke panggung wayang GSC Palm Mall, Kemayan Square.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


“KAMI ingatkan kepada pencuri hasil karya orang, we are watching you (kami perhatikan anda),” kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman.

Ain Arjuna berkata, pihaknya melaksanakan Operasi Hak Cipta KPDNHEP negeri sejak 6 Mac lalu bagi memantau kegiatan individu merakam filem dalam panggung wayang untuk disiarkan di laman sosial.

Katanya, sepasukan anggota ditempatkan di semua panggung wayang bagi memantau kegiatan itu setiap hari.

“Kita membuat pemantauan kerana menerima keluhan penggiat seni yang memaklumkan karya dicetak rompak.

“Kegiatan itu menyebabkan mereka kerugian berbilion ringgit,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Ain Arjuna berkata, pihaknya sudah menjalankan enam pemeriksaan di empat panggung wayang di daerah ini namun belum ada tangkapan dibuat.

Katanya, karya seni dicetak rompak sejak 40 tahun lalu dalam pelbagai bentuk fizikal dan elektronik bermula cakera padat (CD), video cakera padat (VCD) dan cakera Blue Ray.

“Apabila teknologi Internet berkembang, cetak rompak beralih dalam bentuk digital melalui laman sesawang, YouTube, Facebook, Instagram dan Twitter yang boleh dimuat turun dan ditonton,” katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, Akta Hak Cipta 1987 dipinda pada 2012 dengan memasukkan Bahagian VIA bertajuk Antirakaman Kamera yang mengandungi Seksyen 43A.

“Bagi kesalahan ini, pelaku boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun jika sabit kesalahan.

“Antara langkah diambil KPDNHEP negeri adalah menguat kuasa peruntukan dan menjalin kerjasama dengan pemilik panggung wayang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 8:01 AM