HANNAH mahu berehat daripada penggambaran drama Ramadan ini untuk tumpu penghasilan single baharu. -FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my

MEMULAKAN karier seni sebagai penyanyi, rezeki Hannah Delisha, 23, kini dilihat semakin cerah dalam bidang lakonan. Hannah atau nama sebenarnya Hannah Adlina Blackburne Birch pernah tampil dengan beberapa lagu tetapi peminat lebih cenderung melihat bakatnya sebagai pelakon.

Mengakui perkara itu, Hannah berharap tahun ini dapat menumpukan perhatian menghasilkan lagu baharu. Baginya, walaupun rezeki dalam karier lakonan tidak pernah putus, dia perlu memastikan kerjaya nyanyian bergerak seiring.

“Saya semakin sibuk di lokasi penggambaran malah tawaran berlakon tidak putus diterima. Ada juga tawaran menyanyi tetapi selalu terpaksa tolak kerana bertindih dengan jadual penggambaran drama.

“Pada awalnya rasa okey tapi lama-kelamaan saya terfikir untuk seimbangkan masa antara nyanyian dan lakonan. Nyanyian adalah minat saya dan tidak mahu abaikan begitu saja. Oleh sebab itu, saya berazam merakamkan lagu baharu tahun ini,” katanya.

Masih mencari material sesuai, Hannah yang berasal dari Singapura berharap dapat menghasilkan lagu balada.

“Insya-Allah Ramadan nanti saya akan berehat daripada sebarang penggambaran drama dan masa yang ada akan digunakan untuk merealisasikan pembikinan single baharu.

“Kalau boleh saya mahu tampil dengan lagu konsep balada atau R&B. Saya berharap sangat tahun ini dapat lebih banyak tawaran menjayakan persembahan pentas.

‘JIKA tahun lalu jadual nyanyian dan lakonan sering bertindih, kali ini biarlah lebih tersusun dan saya dapat melakukan kedua-duanya.’ - Hannah Delisha.

“Jika tahun lalu jadual nyanyian dan lakonan sering bertindih, kali ini biarlah lebih tersusun dan saya dapat melakukan kedua-duanya,” katanya yang pernah berduet dengan Aziz Harun menerusi lagu Hana tahun lalu.

Mengulas lanjut perihal karier lakonan, Hannah bersyukur apabila drama lakonannya sering mendapat tempat di hati penonton walaupun dia masih baharu dalam bidang itu.

Bermula dengan Mencintaimu Mr Photographer pada 2017, nama Hannah menjadi pilihan ramai penerbit dan pengarah. Malah, gandingan bersama ramai hero kacak dalam drama menyaksikan Hannah sentiasa bersikap profesional dalam melaksanakan tugasnya apabila tidak terpalit sebarang kontroversi.

Berkongsi mengenai perkara itu, Hannah yang juga anak tunggal berkata, sejak awal pembabitan dia pasang niat mahu mencari pengalaman sebanyak mungkin selain mengumpul wang.

“Setiap kali berada di lokasi penggambaran fokus saya hanyalah untuk mendalami watak yang diberikan dan jika rapat dengan rakan gandingan, itu hanya kerana watak.

“Selesai kerja saya terus pulang ke rumah dan tidak berhubung dengan pelakon lain. Jika ada pun atas dasar kerja. Bagi saya, bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi dan jika kita tidak melayan perkara yang bukan-bukan pasti tidak akan terjadi,” katanya.

Mahu pahat nama di Malaysia dan Singapura

Sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur, Hannah aktif berlakon di Singapura dan pernah memenangi anugerah Personaliti Wanita Paling Popular di Pesta Perdana Singapura edisi ke-14 pada 2017.

Dia yang pernah menjayakan drama di saluran televisyen Suria antaranya Farhana, Kemelut, Kathy Gerenti dan Bingit mengakui rindu untuk berlakon di negara kelahirannya.

“Alhamdulillah, banyak tawaran berlakon saya terima setakat ini. Dari Singapura pun ada tetapi tak dapat buat kerana jadual bertindih dengan penggambaran di sini. Memang rindu sangat hendak berlakon drama di sana dan harapnya ia jadi kenyataan tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah bakal terikat dengan penggambaran drama bersiri 30 Pesanan Suara yang bakal menghiasi slot Akasia TV3. Drama terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd yang akan ditayangkan pada Ramadan itu nanti menyaksikan Hannah bergandingan dengan Shukri Yahaya.

“Watak kali ini sama saja seperti yang pernah saya bawa sebelum ini iaitu gadis baik. Bezanya, saya bertudung dalam drama ini.

“Pastinya saya teruja kerana ini pengalaman pertama menjayakan watak berhijab. Insya-Allah ia akan memaparkan sisi berbeza saya dan diharap penonton suka,” katanya.

Selain sering ditawarkan watak ‘manis’, Hannah berharap satu hari nanti berpeluang melakonkan karaktor antagonis dan psiko.

“Saya sering diberikan watak baik dan pertama kali watak hantu menerusi filem Langsuir. Kalau boleh saya mahukan watak lebih mencabar dengan melakonkan watak gelap dan psiko.

“Dua karakter itu menjadi idaman ramai pelakon dan berharap ada pihak yang sudi menawarkannya kepada saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 5:00 AM