ALONG muncul semula mewarnai kanvas seninya. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


Selepas berhadapan ‘kemarau seketika’ dalam karier lakonannya, kini pelawak dan pelakon komedi, Along Cham kembali rancak mengatur langkah.

Sekitar hujung 2017, Along muncul semula mewarnai kanvas seninya sebagai pelakon apabila menerima tawaran membintangi drama.

Pada tahun lalu, Along, 36, muncul dengan drama bergenre romantik komedi, Suamiku Mat Piun yang mengisi slot Iris di TV3.

Drama 19 episod terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd itu secara tidak langsung menyuntik semula semangat Along untuk aktif berlakon.

Bagaimanapun, untuk 2019 ini, Along teruja menantikan lakonannya dalam filem berjudul Tiada Tajuk menemui penonton di pawagam mulai 4 April ini.

Katanya, selepas agak lama sepi seketika daripada berlakon filem, dia tidak sabar menunggu reaksi penonton di panggung wayang nanti.

“Di sebalik debaran kencang di hati, saya sangat menantikan bagaimana komen dan pandangan daripada penonton untuk watak Kuswadi dilakonkan.

“Tidak mudah sebenarnya untuk saya melakonkan watak ini (Kuswadi) pada mulanya kerana tidak yakin dapat memenuhi kehendak pengarah.

“Namun, Mawi selaku pengarah filem Tiada Tajuk banyak membantu memberi bimbingan dan galakan hingga saya akhirnya yakin,” katanya.

Pemilik nama sebenar Muhammad Nizamudin Ahmad ini berkata, dia bersikap terbuka menerima apa saja komen yang akan diterima nanti.

Puas hati dengan sentuhan karya sahabat baiknya, Mawi, bapa tunggal kelahiran Johor ini berganding dengan Hazama dan Joey Daud dalam filem itu.


MELETAK sasaran dalam hidup untuk bergelar usahawan pada usia 40 tahun. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Enggan berbicara lanjut mengenai wataknya, Along berkata dia mahu penonton membuat penilaian sendiri selepas menontonnya.

“Apa yang boleh saya kata, penonton pasti terhibur dengan jalan cerita filem ini yang memuatkan banyak mesej untuk direnungkan.

“Malah, saya berharap filem ini akan berjaya mendapat sambutan yang baik di pawagam apabila ditayangkan nanti,” katanya.

Berbicara mengenai perancangan peribadinya, Along berkata soal jodoh biarlah Allah SWT yang menentukan kerana fokusnya kini menceburi perniagaan.

“Saya cuba meletak sasaran dalam hidup untuk bergelar usahawan pada usia 40 tahun. Ini kerana tidak selamanya akan terus berlakon.

“Minat dalam perniagaan pun memang sudah ada tetapi saya sedar perlu berusaha mencari peluang dan membuat perancangan yang betul,” katanya.

Mengulas mengenai ‘teman baru’, Along tidak menafikan dia kini berkawan baik dengan seorang wanita.

Bagaimanapun, dia enggan mengambil langkah terburu-buru dalam membuat keputusan kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.

“Walaupun sudah tiga tahun berlalu dan kehidupan saya pun semakin baik, perasaan trauma dalam diri tidak boleh dinafikan.

“Saya masih perlukan masa untuk muhasabah diri ke arah kebaikan kerana memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga tidak semudah dijangka.

“Terus doakan yang baik-baik buat saya dan kalau sudah jodoh takkan ke mana. Cuma, saya masih dalam proses memperbaiki diri,” katanya.

Terdahulu, Along pernah berkahwin dengan penyanyi Zila Saeron selama lima tahun dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki.

Pasangan itu sah bercerai talak satu pada 29 Ogos 2016 dengan hak penjagaan kekal anak, Ahmad Danial berpihak pada Along manakala Zila diberi hak lawatan.


TERUJA menantikan lakonannya dalam filem berjudul Tiada Tajuk. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 5:30 AM