Ibrahim IsaMohd Sabran Md SaniMary Victoria DassIzlaily Nurul Ain Hussein dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Amanina Suhan
am@hmetro.com.my


SERAMAI 780 mangsa gas kimia dirujuk ke pusat rawatan awal, manakala seramai 220 mendapatkan rawatan susulan di dua hospital di bandar raya ini dalam tempoh 24 jam sehingga awal pagi semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata, hanya 113 dimasukkan ke wad bagi menjalani rawatan lanjut.

Beliau berkata, seramai 531 mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Katanya, dua mangsa pencemaran gas kimia yang berada dalam keadaan kritikal sebelum ini iaitu seorang pelajar perempuan tingkatan dua dan pemandu ambulans kini dilaporkan stabil.

“Orang ramai yang ditempatkan di Medic Base di Dewan Taman Pasir Putih dan Dewan Taman Mawar dipindahkan ke Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) pada jam 6 petang semalam (kelmarin) bagi memudahkan urusan rawatan.

“Tambahan pula, Dewan Taman Pasir Putih berada dalam zon merah. Setakat 14 Mac (kelmarin), seramai 982 mangsa mendapatkan rawatan di hospital dan klinik sekitar Pasir Gudang,” katanya.


PAKAR memulakan kerja pembersihan sisa bahan toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, semalam.

Dr Sahruddin berkata, kerja-kerja pembersihan yang diselia Jabatan Alam Sekitar (JAS) dijalankan berterusan selama 24 jam.

Menurutnya, sehingga kelmarin tiada laporan mengenai pencemaran air sehingga Sungai Tiram atau laporan mengatakan ia merebak ke Johor Port.

Beliau memberitahu ketika kerja pembersihan dilakukan di Sungai Kim Kim, orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi kawasan pembersihan.

“Petugas juga disarankan untuk mengutamakan keselamatan dengan menggunakan alat pelindung diri sepanjang proses itu.

“Malah kami menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya kebanyakan berita palsu yang tular di media sosial.

“Bagi mendapatkan maklumat tepat, orang ramai boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di talian 07-2522143 atau 07-2532143,” katanya.


MANGSA terhidu gas beracun mendapatkan rawatan kecemasan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 9:49 AM