NORA kadang-kadang terasa hati dengan komen netizen. -FOTO: Nurul Saafina Jemenon.
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my

KONTROVERSI dan gosip seolah-olah sudah menjadi sebahagian daripada hidup selebriti.

Situasi itu juga dianggap biasa dan asam garam dalam dunia hiburan.

Mengharungi era baharu serba canggih ini adalah cabaran besar. Apatah lagi dengan perkembangan teknologi maklumat dan ledakan media sosial yang membuatkan fitnah semakin berleluasa

Penghujung tahun lalu, Nora Danish terpalit dengan kontroversi apabila satu gambar tanpa seurat benang iras dirinya tersebar di media sosial.

Apa yang mengecewakan adalah sifat masyarakat umum yang mudah percaya tanpa berusaha mengambil tahu sejauh mana kebenaran perkara itu.

Malah, ada yang terus menjatuhkan hukum dan turut sama menyebarkan perkara yang belum tentu lagi kebenarannya.

“Zaman ini terlalu banyak benda mengarut berbanding yang betul. Bagaimanapun, pengalaman sepanjang dalam industri hiburan tanah air mengajar saya untuk tidak cepat melatah. Apa yang kita nampak dan baca itu tidak semuanya betul.

“Perkara seperti ini tidak hanya berlaku kepada saya tetapi juga rakan artis lain. Mereka yang bukan bergelar selebriti pun mungkin akan berhadapan kejadian sebegitu.

“Saya sangat berharap supaya orang ramai tidak cepat percaya dan menilai terlebih dulu mengenai sesuatu isu itu. Tidak semua apa yang kita nampak itu benar, terutama sekali yang ada di media sosial,” katanya.

Menurut Nora, kadang-kadang dia terasa hati dengan komen netizen. Namun, dia bersyukur kerana dikelilingi orang yang sentiasa positif dan tidak jemu memberikannya kata-kata semangat.

Paling mengejutkan apabila sebahagian besar pengguna media sosial adalah mereka yang masih remaja. Golongan ini juga tanpa segan silu meninggalkan komen yang kurang manis selain menggunakan kata-kata kesat.

“Terlalu banyak perkara negatif yang ada di media sosial. Saya sendiri pun rasa takut untuk membaca segala komen tetapi perlukan platform itu untuk karier dan perniagaan. Suka atau tidak, saya terpaksa buka dan lihat maklumat yang saya cari.

“Kebanyakan individu yang memberikan komen itu adalah golongan muda. Saya rasa, ibu bapa perlu menilai kembali keperluan anak menggunakan media sosial. Ini kerana terlalu banyak perkara negatif yang ada. Ia kurang sesuai untuk golongan muda terutama mereka yang masih di sekolah rendah. Mungkin ibu bapa boleh pantau anak mereka setiap kali menggunakan media sosial,” katanya.


WALAUPUN terasa hati dengan komen netizen, Nora bersyukur dikelilingi golongan positif.

‘Orang kata saya nampak muda?’

Menyambut ulang tahun ke 37 pada 7 Mac lalu, tidak dinafikan wajah pelakon itu kelihatan masih muda daripada usia sebenar.

Kata Nora, dia bersyukur kerana perkara itu membuatkan dia masih diberikan kepercayaan untuk membawakan watak wanita pertengahan berusia 20-an hingga awal 30-an.

“Kalau betul orang nampak muka saya muda dari usia sebenar, alhamdulillah. Itu bermakna saya masih boleh bawa watak wanita usia pertengahan 20-an dan awal 30-an. Saya belum puas berlakon dalam cerita cinta pada usia itu. Masih banyak yang ingin saya terokai.

“Sebenarnya, saya juga rindu untuk berlakon dalam naskhah komedi. Rasanya sudah terlalu lama saya tidak terbabit dengan mana-mana penggambaran genre komedi sedangkan saya mulai dikenali dengan genre itu,” katanya.

Drama terbaru Nora ialah Surat Cinta Buat Tuhan bakal ditayangkan pada Ramadan nanti menerusi saluran Astro Oasis. Selain Nora, antara pelakon lain yang turut membintangi drama itu ialah Fendy Bakri dan Remy Ishak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 4:30 AM