Mahathir (tengah) bersama Dr Wan Azizah (kiri) dan Osman (kanan) menghadiri taklimat pengurusan bencana sisa toksik yang berlaku di Sungai Kim Kim di MPPG. FOTO Adi Safri
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


INSIDEN pencemaran Sungai Kim Kim, Taman Pasir Putih di Pasir Gudang sejak 7 Mac lalu yang berlarutan hingga ke hari ini dilihat belum sampai ke tahap untuk diisytiharkan darurat.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan melihat insiden berkenaan masih terkawal dan tiada keperluan untuk mengisytiharkan penduduk sekitar Pasir Gudang mengosongkan kediaman mereka.

“Belum sampai tahap itu. Tidak perlu isytihar darurat. Tidak perlu memindahkan orang atau mengosongkan kawasan.

“Apa yang penting, kita perlu berhati-hati. Yang bertugas untuk mengawal keadaan ini pun kena dan mesti bersedia menghadapi apa yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melawat mangsa insiden itu yang ditempatkan di Hospital Sultan Ismail (HSI), hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian.

Terdahulu, beliau dan Dr Wan Azizah dibawa ke Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Daerah Johor Bahru di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) Pasir Gudang bagi mendengar taklimat berhubung insiden terbabit.

Menurutnya, mangsa yang terjejas juga dilihat semakin baik dan keadaan masih terkawal tetapi diakui masyarakat menganggap insiden itu amat serius kerana ia pertama kali berlaku.

“Masyarakat mesti anggap ia satu perkara yang serius tetapi kita perlu ingat kebolehan mereka yang bertugas untuk menyelamatkan mangsa dan mengawal keadaan ini sangat baik dan berhasil.

“Oleh sebab itu, segala yang berlaku sehingga hari ini dalam keadaan terkawal,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 9:30 PM