PEMAIN kebangsaan menjalani latihan di padang MSN. -Foto BERNAMA
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Gandingan muka lama dan baharu mampu memantapkan pasukan seterusnya memberi tentangan sengit dalam saingan Piala Airmarine 2019 yang berlangsung di sini, dari 20 hingga 23 Mac nanti.

Sambil berpuas hati dengan barisan pemain kali ini, pengendali skuad senior, Tan Cheng Hoe optimis menempah slot akhir piala berkenaan apabila melihat komitmen yang diberikan pemain ketika menjalani latihan.

Beliau berkata, semua pemain termasuk Hazwan Bakri, Syazwan Andik dan Matthiew Davies yang sebelum ini tidak hadir sesi latihan pertama sudah melaporkan diri bagi menyahut panggilan kebangsaan.

“Menerusi barisan pemain yang ada, kita optimis boleh mencapai sasaran ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk bergelar juara Piala Airmarine.

“Pemain pula saya lihat sudah cukup bersedia dan pada kali kita menghadapi cabaran cukup getir selain Piala Airmarine, kita juga akan mengharungi perlawanan kelayakan Piala Dunia,” katanya pada sesi latihan di padang Majlis Sukan Negara(MSN), di sini, semalam.

Piala Airmarine penting buat skuad negara sebagai medan terbaik untuk memperbaiki ranking semasa.

Seramai 25 pemain dipanggil menyertai kem latihan termasuk 12 muka baharu seperti Faiz Nasir, Firdaus Saiyad, Hafiz Ramdan, Nicholas Swirad dan Abdul Halim Shaari.

Cheng Hoe berkata, beliau tidak akan menjadikan Piala Airmarine sebagai ‘perlawanan eksperimen’ dan mahu pemain menunjukkan komitmen dan kemampuan masing-masing.

“Oleh itu, saya akan menurunkan kesebelasan terbaik bagi mengharungi Piala Airmarine seterusnya diharap mampu menempah slot akhir kejohanan itu,” katanya.

Selain Malaysia, tiga lagi pasukan dalam kejohanan itu ialah Singapura, Oman dan Afghanistan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 7:00 AM