ANGGOTA polis mengiringi balu Allahyarham Nazrin Hassan ketika hadir bagi kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Allahyarham Nazrin Hassan pada Jun tahun lalu di Kompleks Mahkamah Shah Alam. FOTO Sairien Nafis
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


BALU Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan dan dua remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini atas pertuduhan membunuh lelaki itu.

Tertuduh, Samirah Muzaffar, 44, dan dua remaja yang masing-masing berusia 14 dan 16 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ab Hakim Ab Rahman.

Di dalam kandang tertuduh, Samirah yang memakai baju berwarna hitam berkata, “saya tidak bersalah.. saya tidak buat,” dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan.

Manakala, kedua-dua remaja lelaki yang berada di luar kandang tertuduh pula berkata, “tidak bersalah.”

Turut kelihatan di galeri awam, ahli keluarga Samirah dan dua remaja itu termasuk bapa tertuduh yang juga penganalisis politik terkenal, Dr Chandra Muzaffar yang berkerusi roda.

Mengikut kertas pertuduhan, tiga individu itu didakwa bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, warga Indonesia dengan niat bersama melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Nazrin, 47, di kediamannya di Mutiara Homes di Petaling Jaya, antara 11.30 malam, 13 Jun 2018 dan 4 pagi, 14 Jun 2018.

Mereka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.

Tiada jaminan diberikan kepada Samirah dan dua remaja lelaki itu dan mahkamah menetapkan 11 April ini sebagai pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Perbicaraan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Jamil Aripin dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Zain Ibrahim.

Dalam prosiding itu, Samirah diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Tania Scivetti, Muhamad Farhan Muhammad Shafee dan Rahmat Hazlan, manakala dua remaja itu diwakili Hisyam Teh Poh Teik, LS Leonard dan Salim Bashir serta peguam S Selvi menjadi peguam pemerhati Kedutaan Indonesia bagi seorang pembantu rumah yang masih bebas.

Pada 14 Jun tahun lalu, Nazrin yang ketika itu berusia 45 tahun ditemui maut dalam kebakaran di bilik di rumahnya di Mutiara Homes.

Hasil siasatan dijalankan mendapati Nazrin sudah meninggal dunia terlebih dahulu manakala hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan melecur di beberapa bahagian badan mangsa serta dua kesan lubang atau kecedaraan pada bahagian kiri kepala mangsa.

Susulan itu, pada 4 September tahun lalu, Samirah ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes, seterusnya pada 9 September tahun lalu, turut ditahan reman dua remaja berusia 14 dan 16 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 10:04 AM