PEGAWAI PERHILITAN Wilayah Persekutuan merampas ular.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
am@nstp.com.my


AMARAN! Ular akan dirampas serta-merta jika pemiliknya dikesan mengadakan pertunjukan tanpa mendapatkan permit pameran bergerak daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Ketua Pengarah PERHILITAN Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, sebarang pameran dan pertunjukan membabitkan haiwan liar dilindungi perlu mendapatkan permit daripada pihaknya.

Terbaru sepasukan pegawai PERHILITAN Wilayah Persekutuan merampas 11 ekor ular pelbagai spesies hasil pemeriksaan dilakukan di Ampang, Selangor.

Menurutnya, dalam operasi jam 5 petang, Selasa lalu, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung satu pameran hidupan liar diadakan di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, empat pegawai PERHILITAN mendapati seorang lelaki berusia 40-an menjalankan pameran ular tanpa permit pameran bergerak.


PEGAWAI PERHILITAN merampas ular yang digunakan untuk pertunjukan tanpa permit oleh seorang lelaki di Ampang, Selangor.

“Berikutan itu, beberapa spesies ular disita. Antaranya dua ular tedung senduk, ular tedung selar (1), ular sawa Burma (2), ular ponti (2), ular rusuk kerbau (1), ular sawa albino (1) dan ular ball python (1),” katanya.

Beliau berkata, hidupan liar dirampas itu dibawa ke Pejabat PERHILITAN Wilayah Persekutuan WPKL untuk tindakan lanjut.

“Saya nasihatkan pemilik ular memohon permit bagi pameran bergerak hidupan liar yang mahu diadakan.

“Biasanya permohonan perlu dihantar ke PERHILITAN Negeri untuk tujuan pemeriksaan premis. Sekiranya pemeriksaan memuaskan, baru ia dihantar ke Ibu Pejabat PERHILITAN untuk kelulusan,” katanya.

Beliau berkata, pertunjukan haiwan liar dilindungi tanpa permit pameran bergerak menyalahi Seksyen 66 (akta 716) yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM70,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 7:30 AM