Abd Khader Hat membawa jenazah anaknya ke Tanah Perkuburan Islam Tambun di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. FOTO/ABDULLAH YUSOF
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my

LULUH hati seorang bapa apabila anak yang disangka berada di sekolah untuk latihan sukan dan mengikuti sesi pembelajaran sebelah petang, ditemui lemas bersama rakan sekelasnya, semalam.

Abd Khader Hat, 50, berkata, dia tidak tahu anaknya, Mohamad Farid Nazmi, 13, mandi di Sungai Pinji dekat Kampung Tersusun Batu 4, Tambun di sini.

“Pagi tadi (semalam) dia cuma beritahu nak ke sekolah kerana ada latihan sukan (sebelah pagi) dan akan terus sambung persekolahan sesi petang.

“Saya memang tidak tahu yang dia pergi mandi sungai dengan kawannya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.

Pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambun, Mohamad Farid Nazmi ditemui lemas bersama Alif Azam Azmin Azam, 13, di dasar sungai itu selepas mandi bersama tiga lagi rakan mereka.

Kejadian dilaporkan kepada pasukan penyelamat pada jam 8.57 pagi sebelum mayat Alif Azam ditemui pada jam 10.12 pagi, manakala Mohamad Farid Nazmi, 16 minit kemudian.

Bercerita lanjut, Abd Khader berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan dan menjalani rutin hariannya seperti biasa.

“Semalam (kelmarin) lepas pulang dari sekolah pada jam 7.15 malam, dia pergi mengaji seperti biasa dan balik mengaji dia tidur dengan saya. Pagi ini (semalam) saya tidak gerakkan dia bangun kerana dia sekolah petang.

ANGGOTA bomba meredah arus sungai bagi mencari mayat dua sahabat.

“Dia bangun sendiri dan memberitahu perlu ke sekolah kerana ada latihan sukan, saya cuma pesan supaya bawa basikal elok-elok namun pada jam 9.15 pagi, rakannya datang memberitahu anak saya lemas.

“Saya terkejut dan tanya lemas di mana kerana setahu saya anak saya ke sekolah. Saya kemudian terus ke lokasi kejadian dan nampak jenazah anak memakai baju berwarna hijau sudah dibawa naik,” katanya.

Dalam pada itu, ibu Alif Azam, Norfarizah Masran, 41, berkata, arwah anaknya keluar rumah jam 6.45 pagi untuk menghantar adiknya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pakatan Jaya dan rutin itu dilakukan setiap hari kerana dia bersekolah sesi petang.

“Semalam (kelmarin) dia keluar pagi juga, kata ada aktiviti di sekolah dan malam, saya tanya lagi, ada ke aktiviti di sekolah hari ini (semalam). Dia kata ada, (dan) memang saya tidak tahu dia pergi mandi sungai.

“Saya bekerja di kedai berhampiran dan hanya pesan kepadanya untuk beli bihun goreng jika lapar. Dia beritahu tak mahu makan sebaliknya saya minta tinggalkan sahaja (bihun) di rumah nanti.

“Saya terkejut apabila rakannya datang ke kedai memberitahu dia lemas,” katanya.

Jenazah kedua-dua remaja itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun selepas solat Asar.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.57 pagi dan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.

“Kedua-dua mangsa ditemui di dasar sungai dengan Alif Azam ditemui pada jam 10.12 pagi manakala Mohamad Farid Nazmi pada 10.28 pagi.

“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada jam 11.15 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 9:00 AM