ANTARA kawasan yang rosak akibat puting-beliung yang melanda Daerah Lee, Alabama. FOTO/AFP
Agensi

ALABAMA: Sekurang-kurangnya 23 orang, termasuk kanak-kanak lapan tahun maut selepas puting-beliung melanda Daerah Lee, Alabama, semalam, merosakkan puluhan rumah.

New York Times melaporkan, Syerif daerah itu, Jay Jones berkata, jumlah kematian dijangka meningkat ketika anggota pasukan penyelamat meneruskan pencarian sepanjang malam untuk mengeluarkan mangsa dari bawah runtuhan kediaman serta bangunan perniagaan.

“Buat masa ini jumlah kematian direkodkan 23 orang, termasuk kanak-kanak. Ada mangsa dimasukkan ke hospital dengan kecederaan serius,” katanya.

Menurut Daily Mail, mangsa yang maut termasuk seorang budak perempuan berusia lapan tahun.

Operasi mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan pada lewat semalam, dan akan disambung pagi ini.

“Kemusnahan yang berlaku amat dahsyat. Saya tidak pernah melihat kejadian seperti ini, sekurang-kurangnya sejak 50 tahun lalu,” kata Jones.


ANTARA kawasan yang rosak akibat puting-beliung yang melanda Daerah Lee, Alabama. FOTO/AFP

Kemusnahan dapat dilihat sepanjang beberapa kilometer dengan kelebaran 0.4 kilometer iaitu laluan puting beliung menjejak tanah.

Gambar dan rakaman video menunjukkan pokok tumbang atau patah, jalan dipenuhi puing dan kediaman yang runtuh.

Lebih 6,000 kediaman terputus bekalan elektrik di Alabama, lapor PowerOutage.US, manakala di negeri jiran, Georgia, 16,000 rumah turut mengalami masalah sama.

Pihak berkuasa memberi amaran jumlah kematian mungkin meningkat dalam ketika anggota penyelamat meneruskan pencarian mangsa di Beauregard, antara kawasan paling teruk terjejas.

Sebelum kejadian, Pusat Kaji Cuaca Kebangsaan mengeluarkan amaran melalui Twitter mengenai puting beliung dan mengarahkan orang ramai berlindung di bilik bawah tanah dan mengelak duduk berhampiran tingkap.

CNN melaporkan, dua puting beliung membadai Daerah Lee berturut-turut dan sekurang-kurangnya sedozen lagi membadai Alabama serta Georgia, kelmarin.

Sementara itu, Gabenor Alabama, Kay Ivey, memberi amaran kepada penduduk menerusi Twitter bahawa cuaca lebih buruk dijangka melanda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 7:00 AM