ANGGOTA KPDNHEP melakukan rampasan barangan tiruan di Jalan Petaling, Kuala Lumpur. FOTO Syarafiq Abd Samad
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Norizuan Shamsuddin
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Mampu sewa tapak gerai atau premis pada kadar mencecah RM10,000 sebulan di kawasan segi tiga emas ibu kota.

Malah, difahamkan di Jalan Petaling, sahaja terdapat lebih 20 premis atau tapak niaga dipercayai dimiliki oleh warga asing.

Sumber Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, peniaga warga Bangladesh atau Pakistan terbabit seolah-olah membentuk satu ‘konglomerat’ bagi membolehkan modal dikumpulkan untuk memulakan perniagaan.

Menurutnya, ada antara peniaga barangan cetak rompak itu pernah bekerja kilang atau dalam sektor peladangan sebelum menceburkan diri sebagai peniaga barangan tiruan.

“Berdasarkan pemeriksaan di Jalan Petaling dan Bukit Bintang sebelum ini, mereka mampu menyewa premis milik warga tempatan walaupun dikenakan kadar tinggi.

“Jumlah RM10,000 bukan masalah kerana margin keuntungan diperolehi cukup besar. Mereka pandai berniaga barangan tiruan, malah ada antaranya kini sudah bergelar ‘pemborong’,” katanya.


ANGGOTA KPDNHEP memeriksa barangan tiruan ketika serbuan di Jalan Petaling, Kuala Lumpur. FOTO Syarafiq Abd Samad

Menurutnya, rangkaian hubungan dengan pengilang di negara asal diambil peluang oleh golongan itu untuk membawa masuk pelbagai barangan tiruan terutama pakaian, beg dan kasut dari negara asal.

“Modal penuh satu kontena (berisi barangan tiruan) dibawa masuk mungkin sekitar RM20,000 ke RM50,000 namun keuntungan diperoleh menjangkau RM200,000 hingga RM300,000,” katanya.

Katanya, risikan dilakukan sejak beberapa minggu lalu mendapati peniaga warga asing itu ‘menghilangkan’ diri seketika selepas menyedari operasi besar-besaran dilakukan KPDNHEP dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sementara itu, tinjauan dilakukan wartawan Harian Metro mendapati kawasan sekitar Jalan Petaling di sini, kelmarin masih dipenuhi peniaga dan pekerja asing terutama warga Bangladesh.

Mereka didapati menjual pelbagai barangan tiruan membabitkan pakaian, kasut, tali pinggang, beg tangan wanita, cermin mata, eksesori telefon pintar dan sebagainya.


BEG, jam tangan serta kasut adalah antara jenis barangan tiruan yang dijual warga asing. FOTO Syarafiq Abd Samad

Seorang peniaga tempatan enggan dikenali, berkata tindakan pemilik tapak yang mengaut keuntungan mudah apabila menyewakan tapak dan lesen kepada warga asing membuatkan kawasan berkenaan dipenuhi peniaga Bangladesh.

“Warga asing berkenaan sanggup membayar sewa pada harga tinggi sehingga mencecah RM10,000 sebulan untuk berniaga di kawasan ini.

“Mereka boleh ‘menghidu’ sekiranya pihak berkuasa menjalankan operasi di kawasan ini. Apabila pemeriksaan dilakukan barangan tiruan berkenaan ‘lesap’ dari meja.

“Malah, peniaga dan pekerja warga asing yang tidak mempunyai dokumen lengkap turut menghilangkan diri serta premis akan diambil-alih oleh warga tempatan dipercayai pemilik lesen bagi mengelakkan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 9:56 AM