Mohammad Ridzuan maut selepas sebatang pokok kelapa tumbang menimpanya ketika menunggang motosikal. FOTO Ihsan Pembaca
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my


“ARWAH (Mohamad Ridzuan Abdul Rani,18) ke pekan untuk menyiapkan tugasan kolejnya dan ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang untuk makan tengah hari di rumah,” kata Abdul Rani Amran, 46.

Abdul Rani adalah bapa Mohammad Ridzuan yang maut selepas sebatang pokok kelapa tumbang menimpanya ketika dia melalui jalan itu dengan menunggang motosikal di Kampung Parit Abas, Kuala Kurau, Parit Buntar hari ini.

Kejadian 2.30 petang itu menyebabkan Mohamad Ridzuan meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala selepas dihempap pokok berkenaan.

Difahamkan, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dipercayai melalui jalan itu sebelum sebatang pokok kelapa tiba-tiba tumbang dan menimpanya.

Abdul Rani ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, anaknya itu memang berulang alik dari rumahnya di Kampung Sungai Darat ke Kolej Vokasional Kerian hampir setiap hari.

Katanya, dia yang ketika itu sedang mesyuarat terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada rakannya memberitahu Mohammad Ridzuan meninggal dunia dihempap pokok.

“Saya terkejut apabila dihubungi rakan memberitahu mengenai perkara itu dan pagi tadi anak ada beritahu dia akan pulang untuk makan tengah hari selepas menyiapkan kerja di kolej,” katanya.

Sementara itu saksi kejadian, Zaiton Shaari, 63, berkata, dia yang berada di rumahnya terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat seperti kemalangan sebelum memanggil anaknya untuk melihat apa yang berlaku.

“Mak cik terdengar bunyi dentuman kuat seperti kemalangan sebelum melihat sebatang pokok tumbang dan memanggil anak untuk melihat lebih dekat apa berlaku.

“Anak mak cik dapati ada motosikal dihempap pokok dan mencari mangsa di dalam longkang tetapi tidak ada sebelum memanggil orang kampung berdekatan sebelum mendapati mangsa berada di bawah pokok tumbang itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kurau, Azhar Azmuni berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.04 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba anggota mendapati terdapat sebatang pokok tumbang dan didapati seorang mangsa berada di bawah pokok sebelum operasi mengeluarkan mangsa dijalankan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 6:03 PM