MAYA Karin tidak serik untuk bekerjasama dengan Syamsul. -Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


WATAK Sakinah lakonan Maya Karin yang berat dan banyak bermain emosi dalam filem Munafik 2 arahan Syamsul Yusof terus diingati peminat filem.

Maya, 39, sendiri mengakui wataknya dalam filem terbitan Skop Production Sdn Bhd itu sangat mencabar dan menguji kemampuannya sebagai pelakon.

Namun, Maya tidak serik untuk bekerjasama dengan Syamsul lagi pada masa depan.

“Ketika di lokasi, ia sangat mencabar dan memenatkan. Ini kerana Syamsul seorang yang sangat teliti dan mementingkan kesempurnaan dalam karyanya.

“Saya sendiri memang menyukai pengarah yang memiliki sifat sedemikian. Bukan saja pelakon, saya juga mahu bekerja dengan pengarah yang mahukan terbaik terhadap karya dihasilkannya,” katanya dalam sesi fotografi bersama Bling!, baru-baru ini.

Selepas Munafik 2, Maya dilamar Skop Production untuk beraksi dalam filem Abang Long Fadil 3 tahun ini di bawah arahan adik Syamsul pula iaitu Syafiq.

“Selain Syamsul, saya memang menanti peluang untuk bekerjasama dengan Syafiq. Dia belum beritahu apa watak saya dalam filem komedi itu. Saya percaya dan menyerahkan kepadanya selaku pengarah serta Datuk Yusof Haslam selaku penerbit filem itu,” katanya mengenai filem yang akan memulakan penggambaran hujung bulan ini.

Sebagai pelakon berpengalaman, Maya memang memilih dengan semua tawaran untuknya sejak dulu.

“Saya hanya berlakon dua projek filem setahun. Selalunya saya mengikut naluri sebelum menerima sesuatu tawaran projek filem baru. Ia juga bergantung pada watak dan jalan ceritanya. Jika ia bagus dan menepati yang dimahukan, saya akan terima,” katanya.



Maya berkata, ketika ini dia baru selesai penggambaran filem genre aksi komedi berjudul Bulan dan Pria Terhebat arahan Ghaz Abu Bakar.

Dalam filem itu, Maya bergandingan dengan Zahirah MacWilson dan pelawak terkenal Zizan Razak selaku teraju utamanya.

“Saya melakonkan watak pembunuh upahan dalam filem ini. Apa yang mencabar ialah kepanasan melampau kerana saya mengenakan kostum hitam dan seluar PVC ketat untuk menjiwai watak itu,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan Ghaz pula, Maya berkata, Ghaz adalah pengarah yang sangat bagus dan memberi kepercayaan kepada pasukan produksinya.

“Jika pengarah lain hanya duduk di belakang monitor, Ghaz pula suka turun ke lokasi dan membantu pelakon dan kru.

“Ia juga kali pertama saya bekerja dengan Zahirah. Kami banyak melakonkan babak aksi bersama dan pada pandangan saya, Zahirah pelakon yang bekerja keras serta bersungguh-sungguh menjiwai wataknya,” katanya.

Tak pernah lupakan bidang nyanyian

Kesibukan berlakon serta pembabitan dalam program alam sekitar bukan penghalang buat Maya meneruskan bidang nyanyian yang diminati sejak dulu.

“Saya memang suka menyanyi dan tidak pernah melupakan bidang nyanyian. Terbaru, saya mempertaruhkan single berjudul Getaway selepas hampir lima tahun tanpa lagu baru. Ia ciptaan Audi Mok bersama penyanyi baru Atilia Hanna,” katanya.

Maya berkata, lagu itu adalah genre pop moden dan menampilkan penyanyi Kaka Azraff selaku rapper dalam lagu ini.



“Saya percaya sudah lama penyanyi perempuan tidak berduet dalam lagu sebab itu Audi memilih Kaka untuk ditampilkan dalam lagu ini. Lagu ini juga berkonsep santai dan judulnya saja dalam bahasa Inggeris tapi dinyanyikan dalam bahasa Melayu,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan Kaka pula, kata Maya, dia seorang penyanyi yang bagus dan boleh menyanyi mengikut rentak lagu Getaway.

“Kaka juga memberikan yang terbaik pada lagu ini dan saya harap peminat kami berdua akan terhibur dengan Getaway,” katanya.

Alam sekitar dekat dengan Maya

Sesibuk mana pun, Maya tidak melupakan komitmennya sebagai duta ikon River Of Life khusus untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan sungai kepada alam sekitar.

Maya dilantik sebagai duta ikon River Of Life oleh Kementerian Wilayah Persekutuan selama setahun.

“Selaku duta, saya perlu turun padang bertemu masyarakat dan meningkatkan kesedaran mereka supaya menjaga kebersihan sungai serta alam sekitar,” katanya

Maya tidak menganggap ia tanggungjawab yang berat kerana dia sangat mencintai alam sekitar sejak dulu.

“Maklumlah, saya dididik oleh ibu bapa untuk mencintai alam sekitar seperti pentingnya menjaga kebersihan sungai dan kawasan hutan sejak kecil.

“Memang kulit saya sensitif dan terbakar apabila kena panas matahari tapi saya lebih suka buat kerja amal dan aktiviti berfaedah daripada duduk dalam bilik seperti seorang puteri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 6:00 AM