PAKISTAN bersedia membebaskan juruterbang tentera udara India yang ditawan jika ia mampu mengurangkan ketegangan di antara kedua-dua negara. - Agensi
Agensi

ISLAMABAD: Pakistan semalam, menyiarkan rakaman video juruterbang pesawat penggempur India yang ditembak jatuh di wilayah Kashmir tadbiran Pakistan kelmarin.

Menurut AFP, video disiarkan media Pakistan itu menunjukkan lelaki terbabit yang ditutup mata berpakaian seragam Tentera Udara India disoal siasat dan memberitahu nama, pangkat dan nombor siri tenteranya.

Tentera Pakistan kemudian menyiarkan video kedua menunjukkan juruterbang tanpa mata ditutup minum teh.

Daily Mail melaporkan, juruterbang berkenaan dikenali sebagai Komander Udara Abhinandan Varthaman.

India yang akhirnya mengesahkan jet penggempurnya, MiG 21, hilang ketika operasi di Kashmir, menuntut Pakistan mengembalikan juruterbang terbabit.

Menurut AFP, Pakistan menyatakan ia menembak jatuh dua pesawat India dengan satu jatuh di Kashmir tadbiran Pakistan manakala satu lagi di Kashmir tadbiran India.

India pula mendakwa, ia menembak jatuh satu pesawat F-16 Pakistan namun Islamabad menafikannya dengan jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Asif Ghafoor berkata, tiada pesawat F-16 Pakistan yang hilang.

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, mendesak India berunding bagi menamatkan konflik serta mengelak perang.

“Bolehkan kita mengelak sebarang keputusan yang salah terhadap jenis senjata yang kita miliki, yang anda miliki?” kata Imran melalui televisyen.

Kedua-dua negara mempunyai senjata nuklear dan sudah tiga kali berperang dengan dua daripadanya akibat isu Kashmir yang terbahagi dua, sebahagian ditadbir India, sebahagian lagi milik Pakistan sejak kemerdekaan dari Britain pada 1947.

Sementara itu, Reuters melaporkan, Pakistan menutup ruang udaranya kepada semua penerbangan menyebabkan ribuan penumpang di Asia Selatan dan Asia Tenggara terkandas, sejak kelmarin.

Thai Airways International membatalkan puluhan penerbangan ke Eropah, termasuk ke London, Munich, Paris, Brussels, Milan, Vienna, Stockholm, Zurich, Copenhagen, Oslo, Frankfurt dan Rome yang perlu melalui ruang udara Pakistan.

Keadaan itu menyebabkan kira-kira 5,000 penumpang kini terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok.

Thai Airways dijangka menerbangkan penumpang terbabit mulai semalam atau hari ini, selepas China membenarkan penggunaan ruang udaranya.

Daily Mail melaporkan, beberapa syarikat penerbangan lain, termasuk Emirates dan Qatar Airways, juga menangguhkan penerbangan ke Pakistan mulai semalam.

Selain itu, Etihad, flydubai, Gulf Air, SriLankan Airlines dan Air Canada turut membatalkan penerbangan ke Pakistan manakala Singapore Airlines, British Airways dan syarikat penerbangan lain melencongkan pesawat mereka dari kawasan konflik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 6:30 AM