Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


DUDA mengaku bersalah di dua Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan mencemarkan surau dan mencuri berhala di sekitar Pelabuhan Klang, minggu lalu.

Tertuduh, Helmee Othman, 38, membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman dan Majistret Muhammad ‘Azzam Zainal Abidin.

Mengikut dua pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa mencemarkan surau dengan mengetahui bahawa orang menyifatkan ia sebagai satu keaiban kepada agama.

Perbuatan itu dilakukan di Surau Sabibul Huda, Taman Pendamar Indah, Pelabuhan Klang, masing-masing antara jam 4 hingga 4.15 petang, 20 Februari dan jam 2.30 hingga 2.45 petang, 23 Februari lalu.

Helmee yang juga penganggur turut didakwa mencuri patung sembahyang daripada milikan Cheong Lin Chai, 51, di Lebuh Pendamar Indah 1, Pandamaran, antara jam 4 petang hingga 9.30 malam, 20 Februari lalu.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 295 dan 379 Kanun Keseksaan yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Peguam Nur Aida Md Zainuddin yang mewakili tertuduh berkata, mahkamah perlu terlebih dulu menyemak tahap kewarasan dan akal tertuduh sebelum menerima pengakuan salah itu.

“Ia berikutan seorang yang waras dan normal tidak akan melakukan perbuatan yang membabitkan isu sensitif iaitu kepercayaan agama.

“Saya difahamkan bahawa anak guam mengalami halusinasi dan menerima ‘arahan’ daripada mimpi supaya berbuat demikian.

“Saya percaya mahkamah mempunyai bidang kuasa mengikut Seksyen 342 (1) Kanun Prosedur Jenayah untuk mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri di hospital,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari berkata, pendakwaan mempunyai budi bicara menghantar tertuduh menjalani pemeriksaan jika tertuduh mempunyai masalah mental.

“Namun setakat ini tiada sebarang bukti sama ada dalam bentuk dokumen atau lain yang menyokong fakta bahawa tertuduh mengalami masalah mental.

“Ia bagaimanapun terserah kepada budi bicara mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya.

Muhammad ‘Azzam dan Roslizi menolak pengakuan salah itu dan memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak selama sebulan.

Sebutan semula kes ditetapkan 27 Mac ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan suspek yang meletakkan berhala di Surau Sabilul Huda dipercayai mempunyai masalah mental ‘gila isim’ selepas mempelajari ilmu agama yang salah di negara jiran.

Suspek yang ditahan di rumahnya kira-kira 200 meter dari surau itu mengaku terbabit meletakkan patung berkenaan secara bersendirian.

Dia dipercayai meletakkan satu patung kepercayaan Buddha dikenali ‘Datuk Gong’ berikutan mahu mengajak mereka yang menganut agama berkenaan sembahyang di surau terbabit.

Dua lagi patung kepercayaan Hindu turut diletakkan dengan tujuan sama.

Suspek dikatakan kerap bermimpi melihat Kaabah dikelilingi berhala dan percaya perlu bertindak melakukan perkara sama dengan mengambil patung di tokong kecil berhadapan rumah dan tempat pembuangan sampah di sekitar kawasan berkenaan.

Berita berkaitan

'Siapa letak berhala di surau? [METROTV]'

'[UPDATE] Patung berhala dicuri rupanya...'

'Tindakan tegas perlu diambil-Muhyiddin'

Dua lagi berhala di Surau Sabilul Huda [METROTV]

Isu berhala: Suspek mimpi Kaabah dikelilingi berhala

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 2:53 PM
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan mencemarkan surau dan mencuri berhala di sekitar Pelabuhan Klang, minggu lalu. FOTO Roslin Mat Tahir