KHAIRUL Ramadhan (berdiri kiri) harap FAM segera bayar wang kemenangan menjuarai Piala FAM musim lalu. -Foto ihsan Khairul Ramadhan Zawawi.
Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Selepas pendedahan bekas jurulatih pasukan Terengganu City FC (TCFC), Mohd Noor Md Derus yang mendesak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan segera wang kemenangan merangkul Piala FAM 2018 yang sehingga kini masih belum diperoleh, kini bekas pemain skuad itu tampil menuntut perkara sama.

Wakil pemain skuad itu, Khairul Ramadhan Zauwawi berkata, dia dan rakan sepasukannya sudah lama menanti berita gembira itu sejak enam bulan lalu, namun sehingga kini wang kemenangan itu masih belum diterima biarpun sudah beberapa kali merayu.

Ramadhan yang kini menyarung jersi kelab Kelantan United berkata, bukan hanya dia dan bekas pemain skuad The Sharks itu bengang dengan situasi itu, tapi ada antara mereka yang tidak mendapat tempat dalam pasukan lain musim ini kini hanya menagih simpati daripada keluarga dan sanak saudara.

“Apa lagi yang harus kami lakukan untuk mendapat hak kami itu selepas muncul juara Piala FAM musim lalu. Sebelum ini saya dimaklumkan FAM akan bayar kepada kami wang kemenangan itu selepas tempoh diberikan kepada bekas majikan tamat.

“Tapi selepas tempoh itu tamat pada 19 Februari lalu sehingga kini, selepas hampir enam bulan kami menjadi juara liga FAM musim lalu, kami belum merasai wang kemenangan itu. Dahlah kami dihimpit masalah gaji dan lebih parah penutupan pasukan juara itu sendiri, kini kami berdepan pula dengan isu lain pula iaitu tuntutan wang kemenangan menjuarai piala itu.

“Persoalannya sampai bila harus kami menanti, adakah perlu kami melutut dengan mana-mana pihak... kami juga perlu kewangan untuk meneruskan kelangsungan hidup selain perlu menjelaskan bayaran beberapa perkara,” kata bekas pemain terbaik final Piala FAM musim lalu itu kepada Arena Metro.

Ramadhan berkata, bekas pemain TCFC 2018 berharap FAM bertimbang rasa dan membayar segera wang kejuaraan Liga FAM itu yang dibekukan hingga kini, bukannya diam seribu bahasa.

“FAM perlu memahami perasaan kami yang bekerja keras untuk mencapai kejayaan, tapi selepas menjadi juara wang kemenangan pun kami tidak rasa apatah lagi pembayaran gaji daripada pihak TCFC yang kini boleh dikatakan muflis.

“Malah lebih menyedihkan sebaik penutupan kelab itu ada antara kami yang tidak bermain bola sepak lagi dan wang ganjaran kejuaraan itu sajalah harapan kami selepas berusaha penat lelah.

“Kami hanya mahukan hadiah kejuaraan itu sambil berharap pihak FAM tidak babitkan mana-mana isu untuk gunakan wang kejuaraan 2018 sebagai pengganti tunggakan sebelum ini,” katanya.

Dalam satu kenyataan pada 23 Januari lalu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menyatakan akan menjelaskan sebahagian tunggakan gaji bekas pemain dan pegawai skuad itu selepas 19 Februari 2019 jika bekas majikan mereka terus berdegil tidak membayar segala hutang berkenaan.

Beliau berkata, dengan mengambil kira bebanan kewangan yang ditanggung bekas pemain dan pegawai TCFC, jika sehingga 19 Februari TCFC masih belum menjelaskan tunggakan gaji dan wang pampasan, FAM akan menggunakan hadiah wang tunai selaku juara, wang insentif peringkat kumpulan dan wang deposit penyertaan TCFC yang dibekukan sebelum ini untuk menyelesaikan sebahagian hutang TCFC.

Namun sehingga kini, seramai 23 pemain dan pegawai bekas pasukan TCFC itu belum mendapat wang tunggakan gaji berkenaan biarpun sudah seminggu berlalu.

Sebelum ini, bekas pemain dan pegawai TCFC menuntut tunggakan gaji mereka berjumlah RM977,100 daripada bekas majikannya, namun difahamkan wang pengurusan TCFC yang dibekukan oleh FAM hanya berjumlah RM355,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 7:00 AM