KIM Swee (dua dari kanan) pening congak taktikal apabila gagal dapat pemain terbaik.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@mediaprima.com.my


KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan berusaha menyelesaikan masalah pelepasan pemain peringkat umur yang sudah lama berlaku dalam kancah bola sepak tempatan.

Terbaharu, kegagalan skuad B-22 melangkah ke separuh akhir Piala LG AFF B-22 di Kemboja, dikaitkan dengan kesukaran pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee membentuk pasukan selepas lima pemain tidak berikan ‘lampu hijau’ oleh majikan masing-masing.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menegaskan, badan induk negara sememangnya berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik supaya ia tidak berulang pada masa depan.

“Selain perbincangan lebih awal dengan pihak berkepentingan mengenai tugasan skuad negara terutama bagi kejohanan peringkat umur 22 dan 23 tahun, FAM akan mengadakan perbincangan dengan AFF dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“FAM akan mencadangkan supaya kejohanan yang mereka anjurkan diubah mengikut kalendar FIFA pada masa depan. Ia sudah pasti akan memudahkan pasukan melepaskan pemain,” katanya.

Menurut peraturan sedia ada, setiap pasukan wajib melepaskan pemain kebangsaan untuk aksi kalendar FIFA dan kebiasaannya, saingan domestik akan dihentikan seketika.

Cadangan itu dilihat bakal membuka ruang kepada pemain peringkat umur untuk turut dilepaskan sekiranya dipanggil menyertai perlawanan atau kejohanan.

Ia bagaimanapun bakal menimbulkan sedikit masalah sekiranya pemain peringkat umur berkenaan turut disenaraikan bagi skuad senior namun ia mungkin boleh diselesaikan secara dalaman.

Jelas Stuart, masalah pelepasan pemain tidak saja membabitkan Malaysia namun bersifat global seperti yang dilalui penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung-min yang hanya dapat menyertai Korea Selatan selepas saingan di Piala AFC 2019 dan Sukan Asia 2018 bermula.

“Jadi bagi kempen kelayakan Kumpulan J, Kejuaraan B-23 AFC di Malaysia bulan depan, ia berlangsung dalam tempoh kalendar FIFA. Jadi saya percaya semua pasukan bertanding iaitu China, Laos, Filipina serta skuad negara akan dapat menurunkan pemain terbaik,” jelasnya.

Menurut Stuart, FAM sedih apabila skuad negara tidak mampu melangkah ke separuh akhir namun dari sudut positif ia membuka peluang kepada pemain yang ada untuk menimba pengalaman secara tidak langsung memberi manfaat kepada pasukan masing-masing.

Lima pemain yang tidak dilepaskan untuk aksi di Kemboja adalah Syahmi Safari (Selangor), Daniel Amier Norhisham (FELDA United), Zahril Azri Zabri (FELDA United), Faisal Abdul Halim (Pahang) dan Fadzrul Danel Nizam (Kedah).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 10:00 AM