FARAH bakal ikuti kelas vokal. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


NAMA Farah Nabilah, 27, amat dikenali di pentas lakonan. Namun, kali ini Farah sanggup mencabar dirinya untuk menyanyi bagi menjayakan persembahan mini sempena misi kemanusiaan Asia Africa Development Relief Foundation (ADRF) khusus untuk membantu golongan memerlukan.

Farah yang juga Duta ADRF berkata, dia sanggup menyahut cabaran itu kerana mahu menampilkan sesuatu yang berbeza dalam menjayakan misi kemanusiaan.

“Memang saya gementar apabila diminta menyanyi bersama rakan artis lain nanti. Ia juga kali pertama saya menyanyi depan orang ramai.

“Saya sanggup menyahut cabaran itu kerana percaya seseorang pelakon mesti ‘versatil’ dan boleh menyanyi seperti Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee,” katanya.

Pelakon drama Titian Cinta itu berkata, dia juga akan mengikuti kelas vokal sebagai persediaan menjayakan persembahan itu nanti.

“Saya akan menyampaikan dua lagu iaitu Kelmarin dendangan kumpulan Seventeen dan I Never Love Again daripada Lady Gaga.

“Pada mulanya, saya bimbang untuk menyanyi kerana saya juga pelakon. Namun, selepas berfikir panjang, saya yakin melakukannya demi tuntutan kerja amal ini,” katanya ketika ditemui di sidang media Mini Showcase In Love Kemanusiaan ADRF with Farah Nabilah & Friends di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

DILANTIK menjadi duta kemanusiaan ADRF. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Persembahan itu akan berlangsung di PWTC pada 28 April ini. Senarai artis yang dijangka terbabit pula, menurut Farah, ia masih dalam perbincangan lagi.

“Saya sudah ada senarai artis yang bakal terbabit nanti. Kalau boleh saya mahu artis yang pernah berlakon sama seperti Zul Ariffin dan Fikry Ibrahim. Saya juga mengalu-alukan artis popular yang pernah buat program amal untuk turut sama menjayakan persembahan itu nanti,” katanya.

Ditanya bagaimana dia membahagikan masa pula, Farah berkata, dia tetap meluangkan masa untuk melakukan program amal walaupun agenda seninya padat.

“Saya memang minat buat kerja amal sejak di bangku sekolah lagi. Ia juga platform terbaik menggunakan populariti yang ada untuk terbabit dengan misi kemanusiaan seperti ini,” katanya.

Namun, Farah menafikan dia terbabit dalam misi kemanusiaan ADRF untuk menceburi bidang politik seperti dakwaan segelintir pihak.

“Persembahan itu hanya aktiviti sehari saja. Selain itu, saya juga akan ke Indonesia selama tiga hari untuk misi kemanusiaan di sana pada April nanti,” katanya.

FARAH akan terbabit dengan projek drama bersiri dan filem. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Berlakon filem pertama

Farah akan terbabit dengan projek drama bersiri dan filem tidak lama lagi. Katanya, dia bakal bergandingan dengan Fikry sekali lagi selepas drama Cik Reen Encik Ngok Ngek untuk peng­gambaran drama Slot Akasia di TV3 bulan depan.

“Selain drama, saya juga akan berlakon filem pertama saya yang juga bertema cinta bulan depan,” katanya.

Farah yang pernah dinobatkan sebagai Artis Baru MeleTop di Anugerah MeleTop Era tahun lalu berkata, dia juga mahu mengembangkan bakat lakonan ke layar perak.

“Sudah sampai masa­nya saya keluar dari zon selesa pada usia 27 tahun ini. Sebab mahu kembangkan bakat sebagai pelakon filem. Ia projek filem pertama dan pastinya memberi cabaran besar buat saya kerana ia berbeza daripada drama,” katanya.

Pada masa sama, Farah sibuk membuat persiapan dari segi stamina dengan kerap melakukan senanam.

“Walaupun ia bukan filem aksi, stamina penting untuk berlakon filem yang skrin­nya lebih besar dan penggambaran juga lama.

“Saya juga melakonkan watak heroin dalam filem ini tapi hero dan maklumat lebih terperinci mengenai filem ini belum boleh diberitahu lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 5:30 AM