POLIS membantu mangsa yang cedera. - Agensi
Agensi

MELBOURNE: Seorang lelaki dipenjara seumur hidup kerana merempuh orang ramai di jalan raya dan menyebabkan kematian enam orang termasuk seorang budak berusia 10 tahun serta bayi tiga bulan yang tercampak dari kereta sorongnya.

James Gargasoulas, 29, hanya boleh dipertimbangkan untuk parol selepas menjalani hukumannya selama 46 tahun. Dia didapati bersalah menggunakan kereta curi untuk merempuh orang ramai di pusat bandar Melbourne pada 20 Januari 2017, lapor news.com.au.

Antara mangsanya ialah bayi, Zachary Bryant, yang tercampak 60 meter dari kereta sorongnya dan seorang budak perempuan berusia 10 tahun, Tahlia Hakin.


GARGASOULAS rempuh orang ramai ketika memandu di bawah pengaruh dadah. - Agensi

Puluhan mangsa lain turut cedera selepas Gargasoulas merempuh mereka ketika memandu di bawah pengaruh dadah.

Hakim Mahkamah Agung Victoria, Mark Weinberg memerintahkan Gargasoulas menjalani enam hukuman penjara seumur hidup untuk kejadian dianggap pembunuhan beramai-ramai paling buruk dalam sejarah Australia, lapor Reuters.

“Kamu langsung tidak cuba mengelak orang atau memperlahankan kereta, sebaliknya sengaja merempuh mereka. Orang awam mesti dilindungi daripada kamu,” katanya.

Sementara itu, Gargasoulas dalam surat yang dibacakan kepada mahkamah menegaskan dia bukan seorang yang jahat, sebaliknya mendakwa melakukan jenayah itu akibat ‘penindasan kerajaan.’

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 6:31 AM