BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tanggapan sesetengah orang tukang emas adalah golongan ‘kaya raya’ sebenarnya tidak tepat.

Tukang emas tradisional Tuan Azmi Tuan Moning, 55, yang mewarisi perniagaan emas bapanya berkata, hakikatnya, upah diterima hanya cukup menyara keluarga apatah lagi jika masih mengekalkan cara pembuatan tradisional.

Tambah beliau, itu antara faktor generasi muda kini tidak berminat meneruskan perniagaan emas milik keluarga, lebih-lebih lagi kerja pertukangan emas memerlukan kesabaran tinggi sedangkan upah diterima tidak seberapa.

Keadaan itu menyumbang kepada berkurangnya bilangan kedai emas di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. Sekiranya sekitar tahun 80-an ada lebih 50 orang tukang emas tradisional, tetapi kini hanya ada 15 yang masih bertahan.

“Saya terkilan kerana satu-satunya anak lelaki tidak berminat meneruskan perniagaan ini dan memilih kerja ‘makan gaji’.


TUAN Azmi melakukan proses menarik emas menggunakan plat besi berlubang untuk dijadikan rantai.

“Perniagaan kami berbeza berbanding tauke kedai emas yang mampu menikmati hidup mewah kerana meraih margin keuntungan tinggi daripada jualan barang kemas serta kos upah yang dinaikkan melebihi 200 peratus,” katanya.

Tuan Azmi menjalankan perniagaannya di Bukit Tunggal, Kuala Nerus, tujuh kilometer dari bandar Kuala Terengganu.

Tuan Azmi menerima lebih 20 pelanggan setiap bulan - termasuk yang membuat tempahan baharu serta membaiki barang kemas.

“Kaedah tradisional menggunakan tangan dan peralatan manual menghasilkan barang kemas yang lebih tinggi kualitinya dan tidak mudah rosak berbanding yang menggunakan mesin,”

katanya yang dibantu seorang pekerja, Ungku Hassanuddin Ungku Ismail, 44.

Kepakaran Tuan Azmi bukan hasil menghadiri kursus khas sebaliknya bermula dengan minat serta kecintaan terhadap seni pertukangan emas dan atas dorongan arwah bapanya, Tuan Moning Tuan Endut.

Beliau berkecimpung secara serius dalam bidang itu ketika berusia 20an berikutan kecewa tidak dapat berkhidmat dalam sektor awam. Sejak itu beliau nekad mempelajari seni pertukangan emas walaupun beroperasi
di rumah.

Pada peringkat awal Tuan Azmi hanya menerima tempahan dari sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. Nama beliau kemudiannya menjadi sebutan hingga menerima pelanggan dari negeri lain. Malah, ada juga pelanggan ketika zaman bapanya sejak 1960-an yang setia hingga ke hari ini, malah generasi seterusnya seperti anak cucu mereka.

Bukan sahaja ketelitian dan kehalusan perhiasan emas buatan beliau menjadi buah mulut khalayak, malah kejujurannya.
Seperti juga bapanya,
Tuan Azmi memulangkan semula semua baki emas tidak digunakan termasuk habuk emas.

“Kami tidak pernah ambil baki emas pelanggan. Sejak arwah bapa lagi, itulah yang diamalkan,” katanya.

Pelajaran pertama beliau sebagai tukang emas tradisional adalah membuat gelang tangan perak dan beralih kepada emas selepas agak mahir.

“Mula-mula dulu, saya ambil masa tiga hingga empat hari untuk siapkan satu gelang atau rantai leher, tetapi selepas agak mahir, hanya perlukan sehari untuk siap,” katanya.


TUAN Azmi menunjukkan emas yang telah dilebur dan dibentuk menjadi batang.

Tuan Azmi berkata, ketelitian, fokus dan kemahiran ialah tiga elemen penting yang perlu ada pada setiap tukang emas.

Pelanggan boleh menggunakan emas dari kedainya atau membawa barang kemas lama untuk dilebur dan dibentuk menjadi perhiasan baharu.

Menjelaskan proses pembuatan, pertamanya melebur barang kemas sebelum dimasukkan
ke dalam acuan kecil yang ditarik secara berperingkat sehingga menjadi dawai panjang.

“Selepas dikeluarkan
dari acuan segi empat,
emas ditekan dengan mesin ‘tarik’ tradisional dilengkapi plat besi berlubang dengan saiz diameter tertentu untuk menghasilkan dawai mengikut ukuran
yang dikehendaki.

“Sebelum adanya mesin tarik, tukang emas era 60-an akan meletakkan plat besi di atas lantai rumah dan emas ditarik dari bawah rumah melalui celah lubang lantai dan ia memerlukan tenaga yang sangat kuat,” katanya.

Selepas mendapatkan ukuran dawai sesuai, tukang emas memotong dawai sebelum dibentuk mengikut bentuk
diingini dan dicantum menggunakan alat patri emas. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 7:50 AM