Skuad Khas Harian Metro
am@hmetro.com.my


ISKANDAR PUTERI: ‘Ayam’ kontena. Itu jolokan diberikan kepada aktiviti buruh warga asing bagi melampiaskan nafsu di satu kawasan khas dibina sindiket tapak pembinaan di Tanjung Kupang, Gelang Patah di sini, yang dipercayai sudah beroperasi sejak lebih empat bulan lalu.

Selain menawarkan khidmat seks pada harga serendah RM80, sindiket pelacuran itu juga menyediakan bilik yang selesa kepada pelanggan mereka dengan mengubah suai kontena kepada 12 bilik kecil dilengkapi tilam, tandas dan alat penghawa dingin.

Lampu merah ala pusat pelacuran rumah merah di Brickfields yang popular satu ketika dulu juga turut digunakan premis berkenaan.

Keselesaan dan harga murah ditawarkan sindiket terbabit menjadikan pusat pelacuran pertama seumpamanya di Malaysia itu sebagai tumpuan warga asing sehinggakan mereka (pelanggan) dilihat terpaksa beratur panjang menunggu giliran bagi mendapatkan khidmat seks.

Aksi warga asing terdiri daripada warga Bangladesh dan Indonesia terbabit disaksikan wartawan Skuad Khas Harian Metro yang berkolaborasi bersama Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D7C) Bukit Aman dalam operasi dinamakan Op Pintas.

Untuk rekod, risikan pasukan siasatan diketuai Deputi Superintendan Norizam Ibrahim dilakukan selama sebulan sebelum serbuan dibuat kira-kira jam 8.45 malam, kelmarin.

Ketua Penolong Pangarah D7C Bukit Aman Datuk Maszely Minhad berkata, operasi pertama dilakukan pihaknya di tapak pembinaan itu berjaya menyelamatkan 13 wanita yang dipercayai diperdagangkan untuk tujuan seks.

“Mereka terdiri daripada 11 wanita Vietnam dan dua warga Indonesia berusia antara lewat 20-an hingga 30-an. Seorang daripada wanita yang berjaya kita selamatkan ditemui dikurung di satu daripada bilik di premis itu. Kita syak dia dipaksa melakukan kerja haram itu namun siasatan lanjut masih dilakukan.

“Kita juga menahan dua penjaga premis itu terdiri daripada warga tempatan dan warga Kemboja masing-masing berusia 20-an,” katanya.


SEJUMLAH 12 bilik kecil yang diubah suai dilengkapi tilam, tandas dan alat penghawa dingin.

Menurutnya, selain dua penjaga terbabit, pihaknya turut berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun yang juga tauke atau pemilik pusat persundalan itu sekitar kawasan berkenaan bersama wang tunai RM24,360.

Katanya, pihaknya turut merampas RM3,690 iaitu wang dipercayai hasil daripada aktiviti itu pada hari berkenaan bersama bil, dua telefon bimbit dan 107 kondom.

“Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk siasatan mengikut Seksyen Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007,” katanya.

Maszely berkata, siasatan awal pihaknya mendapati premis itu beroperasi seawal jam 3 petang sehingga 1 pagi. Semua wanita berkenaan juga ditempatkan di beberapa kontena kosong yang diubahsuai menjadi asrama wanita.

“Namun, pelanggan dikesan membanjiri pusat persundalan ini pada waktu malam. Ini mungkin disebabkan mereka bekerja pada siang hari,” katanya pihaknya turut berjaya menahan empat pelanggan terdiri daripada dua warga Indonesia dan dua Bangladesh.

Dalam perkembangan sama, Maszely berkata, susulan tangkapan pertama, pasukannya menyerbu sebuah rumah di Taman Seri Tebrau sebelum menyelamatkan seorang lagi wanita warga Vietnam.

“Kita tahan seorang lelaki dan seorang wanita iaitu penjaga rumah terbabit dan turut merampas dua buku akaun bank bersama wang tunai RM5,000,” katanya.

Terdahulu, keghairahan buruh warga asing yang sedang beratur dalam tiga barisan di hadapan pusat pelacuran itu sementara menanti giliran terbantut dengan kehadiran pasukan polis.

Kebanyakan mereka yang berada di luar premis itu bertempiaran lari sehingga ada segelintir terjatuh dalam parit tidak jauh dari premis itu.

Pemerhatian wartawan juga mendapati, setiap pelanggan yang tiba gilirannya akan diminta memilih wanita yang duduk di atas kerusi di hadapan mereka.

Selepas membuat bayaran, wanita terbabit dibekalkan kondom sebelum dia diarahkan membawa pelanggannya ke bilik. Pelanggan hanya diberikan masa 15 minit setiap seorang untuk bersama wanita itu.

Untuk rekod, pusat persundalan itu juga mengupah penjaga air ataupun tonto yang berperanan melaporkan setiap pergerakan keluar masuk kenderaan di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 10:03 AM