Nicol akan bersara selepas tamat saingan Jelajah PSA Jun depan. -Foto fail
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my


RATU skuasy negara, Datuk Nicol David mengesahkan akan bersara selepas tamat saingan Jelajah PSA Jun depan, selepas dua dekad mengecapi pelbagai kejayaan di dalam sukan berkenaan.

Menurut pemain berusia 35 tahun itu, ia adalah keputusan yang tepat buatnya bagi membuka lembaran baharu selepas ini namun pada masa sama dia mengakui akan terus kekal aktif di dalam sukan yang dicintainya itu.

“Selepas lebih 20 tahun mewakili negara dalam sukan skuasy, beraksi dalam jelajah profesional dan menikmati beberapa kejayaan, saya sekarang ini sudah bersedia dan gembira untuk mengumumkan persaraan pada penghujung musim ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Juara dunia lapan kali ini kelahiran Pulau Pinang ini, berjaya dinobatkan sebagai Pemain Wanita Terbaik Sepanjang Zaman melalui satu undian yang dikeluarkan oleh Persatuan Skuasy Profesional (PSA) tahun lalu.

Undian berkenaan yang diadakan Ogos lalu, membabitkan penyertaan daripada ribuan peminat dan pemain skuasy seluruh dunia.

“Saat ini memang semua atlet akan melaluinya, sekarang tiba giliran saya, bersedia untuk menerokai lebih dari menjadi pemain jelajah profesional. Saya sudah lama memikirkan perkara ini. Fikiran dan badan saya sudah bertarung untuk kekal pada tahap terbaik dalam tempoh yang lama.

“Saya merasakan hanya mempunyai tenaga terakhir untuk dihabiskan pada musim terakhir ini, memberikan apa yang saya ada sebelum saya menerokai alam baru dalam hidup saya.”


AKHIRNYA selepas 20 tahun beraksi dan bergelar Pemain Wanita Terbaik Sepanjang Zaman Nicol akan menggantung raket. -Foto Agensi

Bekas pemain nombor satu dunia itu berdepan saat sukar sejak kebelakangan ini dan tahun lalu buat kali pertama dia tidak berada dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia selepas lebih satu dekad.

Nicol mengakui dia akan cuba untuk menabur bakti semula kepada sukan yang diceburinya sejak zaman remaja pada era 90-an, dengan menjalin kerjasama bersama PSA untuk meningkatkan lagi kesedaran mengenai sukan ini secara meluas di seluruh dunia.

Dia juga akan memberi fokus kepada Yayasan Nicol David hasil kerjasama dengan PwC Malaysia dan bersedia untuk berkongsi pengalamannya melalui ceramah dan penulisan.

Dalam kesempatan itu, Nicol juga ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang banyak membantu dan memberi sokongan kepadanya termasuk keluarga, jurulatih, Liz Irving, peminat dan penaja.

“Terima kasih seikhlas hati kepada semua, Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara, Majlis Sukan Pulau Pinang, semua persatuan skuasy yang membabitkan saya sepanjang karier Persatuan Raket Skuasy Malaysia, Persatuan Raket Skuasy Pulau Pinang dan Akademi Skuasy Pulau Pinang,” katanya.

Nicol yang sekarang ini berada di ranking 21 dunia, akan mengambil bahagian di Kejohanan Dunia di Chicago dari 23 Februari hingga 2 Mac ini, di mana dia diletakkan sebagai pilihan ke-13.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 12:40 AM