Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my


LELAKI yang diburu polis kerana membelasah seorang wanita di dalam lif dekat Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras, akhirnya ditahan, 8.10 malam ini.

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan di Taman Cheras, Jalan Cheras di Kuala Lumpur oleh sepasukan anggota polis Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim memaklumkan suspek akan ditahan reman pagi esok.

Harian Metro hari ini melaporkan polis sudah mengenal pasti identiti suspek yang memukul dan menyamun wanita itu dalam kejadian Khamis lalu.

Mazlan dipetik sebagai berkata, pihaknya sudah mendapatkan beberapa maklumat lelaki berkenaan sebelum usaha memburunya dijalankan.

Khamis lalu, mangsa berusia 48 tahun itu dikatakan berada dalam lif berkenaan bersama suspek sebelum dibelasah dan disamun lelaki itu.

Suspek melarikan dompet mangsa yang mengandungi kad pengenalan, kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan wang tunai berjumlah RM400.

Akibat kejadian itu, mangsa cedera pada dahi dan badan serta dirawat di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Berita berkaitan

Suspek samun dalam lif MRT dikenal pasti

Ganjaran RM10,000 buru penyamun MRT

Belasah, samun dalam lif [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 11:06 PM