Zaid Salim
am@hmetro.com.my


KUALA TERENGGANU: “Kami semua saudara dunia akhirat,” kata lima wira dalam insiden Pulau Warisan ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Surat Penghargaan dan Ucapan Terima Kasih dan Bual Bicara Bersama Lima Wira Pulau Warisan di Dewan Mini Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, semalam.

Dalam kejadian kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm meluncur sebelum terjunam ke sungai di Pulau Warisan di sini, 8 Februari lalu yang mengorbankan nyawa Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, menyatukan hubungan ‘persaudaraan’ enam lelaki termasuk Allahyarham walaupun sebelum ini mereka tidak mengenali antara satu sama lain.

Malah, lima ‘bersaudara’, Omar Abdul Aziz Othman, 27; Saiful Anuar Mohd, 37; Shahrul Mizan Harun, 34; Mohd Amiro Hafizol Zukafli, 29, dan Mohd Asadullah Jamaluddin, 28, yang diangkat sebagai wira mengakui kejadian yang menjadi titik hitam dalam lipatan sejarah mereka itu akan dikenang sepanjang hayat.

Menurut Omar, dia bersama empat lagi mengakui masih sedih dengan kehilangan Allahyarham walaupun sebelum ini tidak mengenali antara satu sama lain.

“Kami sedih kejadian itu meragut nyawa seorang daripada saudara yang kami anggap sebagai wira sebenar.

“Allahyarham selayaknya digelar perwira. Kami sangat kagum dengan keberaniannya. Bukan semua orang mampu buat seperti apa yang dilakukan Allahyarham kerana dia segera terjun ke sungai sebaik melihat kejadian itu,” katanya yang juga individu kedua terjun bagi menyelamatkan mangsa.

Omar yang juga pegawai di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu berkata, Alllahyarham adalah individu bertanggungjawab mengeluarkan semua mangsa ketika kenderaan itu hampir tenggelam, sementara mereka hanya berusaha membantu menaikkan mangsa ke darat.

“Saya juga hampir lemas dan bernasib baik kerana diselamatkan Shahrul Mizan yang menarik saya bersama dua wanita ke tebing,” katanya.

Seorang lagi penyelamat, Shahrul Mizan berkata, dia menyelamatkan Omar selepas melihat saudaranya itu keletihan ketika berusaha menyelamat dua wanita dewasa yang hampir lemas ke tebing.

“Saya terjun sebaik terdengar suara orang berlari sambil menjerit meminta siapa yang pandai berenang agar segera menyelamatkan orang yang lemas.

“Ketika itu, saya sedang bersiap untuk memulakan perniagaan sebelum terjun bagi menyelamatkan Omar bersama dua daripada lima mangsa ke darat,” katanya yang bekerja sebagai peniaga pakaian terpakai.

Sementara itu, Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, keberanian enam wira termasuk Allahyarham Abdul Bari Asyraf bukan saja menjadi kebanggaan masyarakat di negeri ini, malah mendapat pujian dan pengiktirafan seluruh dunia.

“Memang mereka layak menerima penghargaan ini dan kita harap apa yang dilakukan mereka menjadi contoh dan tauladan serta menjadi idola kepada rakyat negara ini khususnya golongan belia.

“Semoga Allah SWT memanjangkan usia dan memberikan kesihatan yang baik kepada lima wira ini selain mendoakan Allahyarham Abdul Bari Asyraf yang pemergiannya sangat mulia di sisi Allah SWT ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Dalam kejadian jam 9.40 malam pada 8 Februari lalu, mereka bersama Allahyarham Abdul Bari Asyrafnekad terjun bagi menyelamatkan nyawa lima sekeluarga yang nyaris lemas selepas Mitsubishi Storm dinaiki meluncur sebelum terjunam ke dalam sungai.

Bagaimanapun, malang tidak berbau apabila seorang daripada mereka, Abdul Bari Asyraf terkorban selepas ditemui lemas sebelum mayatnya ditemui jam 7.23 pagi pada 10 Februari lalu pada jarak 2.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan lemas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 10:03 AM
AZLIMIN (tiga dari kanan) bersama Timbalan Pengarah JBPM Terengganu, Sharikan Bustamam (empat dari kiri) melihat surat perhargaan kepada lima Wira Pulau Warisan yang membantu menyelamatkan lima wanita hampir lemas selepas pacuan empat roda terjunam ke sungai di Pulau Warisan.