AARON tidak ada masalah kali ini kerana mampu susun jadual. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my

PELAKON terkenal, Datuk Aaron Aziz tidak pernah terfikir untuk menginsuranskan anggota badan tertentu selepas beberapa kali terkena sakit tulang belakang bahagian leher.

Kali pertama Aaron, 42, terkena penyakit itu pada 2012 iaitu sebelum menjalani penggambaran program Fear Factor Malaysia.

Beberapa tahun selepas itu, penyakit sama berulang hingga menyebabkan dia dimasukkan ke hospital.

Bagaimanapun, Aaron yang popular menerusi filem KL Gangster menolak menjalani sebarang pembedahan meskipun sudah dinasihati doktor.

“Sejak kena penyakit ini, saya elakkan buat kerja berat sebab bimbang sakit tulang belakang kena sekali lagi. Sakit ini pula tak boleh jangka bila kena. Saya hanya kena sentiasa berhati-hati.

“Saya tidak menjalani pembedahan kerana berasakan masih boleh kawal. Sebelum ini kalau kena, sakit sikit saja.

“Dari segi nak insuranskan tubuh. tidak sampai terfikir tahap itu. Saya hanya ambil insurans nyawa termasuk keluarga sekali. Ia lebih penting,” katanya.

Aaron yang turut dikenali sebagai pelakon filem aksi berkata, isterinya, Diyana Halik seorang yang ‘gila’ insurans.

“Kalau bercakap soal insurans seperti yang ditawarkan dalam negara kita ini, ia memang bermanfaat. Bukan untuk diri sendiri dan tempoh sekarang saja, tapi jangka masa panjang. Kalau ada keluarga lagi bagus.

“Macam saya, kalau sudah tua, tidak ada kerja dan sakit, sekurang-kurangnya ada insurans untuk ‘cover’. Malah, kalau ditakdirkan meninggal dunia ada sedikit yang ditinggalkan untuk keluarga.

“Pada masa sama, isteri saya sangat menitikberatkan perkara ini. Kalau boleh dia nak ambil banyak insurans,” katanya.

Berkongsi kerjaya lakonannya, buat pertama kali Aaron berlakon dalam dua drama serentak iaitu Jodoh Jodoh Annisa (JJA) yang bakal ditayangkan esok di saluran Astro Prima dan Patah Sayap Bertongkat Paruh (PSBP) di saluran Astro Ria pada Mac ini.

“Dari dulu lagi saya jenis buat satu kerja dalam satu masa. Kalau mahu ambil tawaran lain, kena habiskan satu projek dulu. Sebab saya tidak mahu menyusahkan produksi.

“Untuk kali ini, saya boleh susun jadual dan tidak ada masalah. Lagipun, penggambaran drama JJA panjang sebab membabitkan 70 episod. Jadi, sepanjang Januari dan Februari saya ada banyak waktu kosong.

“Kebetulan dapat tawaran drama PSBP. Kalau saya tak ambil, saya hanya duduk di rumah saja. Jadi, baik saya bekerja. Lagipun ini adalah rezeki,” katanya.

Ditanya mengenai kesudiannya berlakon dengan pelakon baru, Aaron tidak pernah memilih siapa pasangannya dalam drama.

“Saya okey saja dengan sesiapa. Sama ada orang lama atau baru. Bagi saya, setiap pelakon ada kelebihan masing-masing.

“Paling penting, pelakon lama atau baru, ia tidak menjamin rating sesebuah karya. Ia bergantung kepada persembahan pelakon itu dalam lakonannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 6:01 AM