OMAR bersama isteri dan anak lelakinya menziarahi pusara arwah Abdul Bari Asyraf di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Patah.
Zaid Salim
am@hmetro.com.my


KUALA TERENGGANU: “Saya kagum dengan keberanian arwah dan selayaknya dia (Abdul Bari Asyraf) diangkat sebagai perwira,” kata Omar Abdul Aziz Ithman, 27, seorang daripada enam penyelamat dalam kejadian Mitsubishi Storm tergelongsor ke dalam sungai di Pulau Warisan.

Kejadian itu meragut nyawa seorang daripada mereka iaitu Allahyarham Abdul Bari Asyraf.

Menurut Omar, tidak semua orang mampu melakukan apa yang Allahyarham lakukan kerana tanpa berfikir dengan spontan dia terjun ke sungai sejurus mendapati kenderaan berkenaan bergerak ke sungai.

“Arwah yang mengeluarkan semua mangsa dari dalam kenderaan berkenaan dan saya serta empat lagi sahabat hanya membantu menaikkan mangsa ke darat.

“Tetapi Allah lebih menyayangi arwah dan pemergiannya sangat mulia. Saya mendoakan arwah ditempatkan di syurga bersama para solihin,” katanya ketika ditemui bersama isteri, Fatin Afifah Rameli, 27, dan anak lelakinya, Iman Anirul Mukminin berusia tiga tahun menziarahi pusara arwah Abdul Bari Asyraf di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Patah, di sini.

Dalam kejadian jam 9.40 malam 8 Februari lalu, Allahyarham Abdul Bari Asyraf bersama Omar Abdul Aziz dan empat lagi penyelamat, Saiful Anuar Mohd, 37, Shahrul Mizan Harun, 34, Mohd Amiro Hafizol Zukafli, 29 dan Mohd Asadullah Jamaluddin, 28, sanggup berkorban nyawa terjun ke sungai bagi menyelamatkan lima wanita yang berada dalam kenderaan pacuan empat roda berkenaan daripada lemas.

Pegawai di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dari Kampung Rusila, Marang, yang selesa dengan panggilan Omar itu berkata, dia juga tidak lupa kepada jasa empat rakan penyelamat yang bersama membantu mangsa pada malam kejadian.

Katanya, ketika kejadian dia juga hampir lemas dan bernasib baik kerana ada rakan penyelamat yang membantu menariknya ke tebing.

“Semua mereka saya anggap sahabat dunia akhirat,” katanya sambil meminta maaf kerana tidak berkesempatan untuk bersama rakan penyelamat selepas kejadian kerana kekangan tugas.

Katanya, dia terharu dengan ucapan pujian warganet terhadap pengorbanannya bersama rakan dan mengucapkan terima kasih.

“Apa yang kami lakukan adalah sebagai tanggungjawab kami membantu mereka yang dalam kesusahan dan dalam kejadian itu saya, rakan penyelamat atau sesiapa sahaja jika berkemampuan wajib memberi pertolongan.

“Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta kerajaan negeri yang menganugerahkan sijil penghargaan kepada mereka,” katanya.

“Anugerah dan sijil penghargaan ini memberi kekuatan dan semangat untuk saya dan sahabat lain untuk terus menabur bakti kepada masyarakat.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada majikan saya diatas penganugerahan Sijil Penghargaan Perkhidmatan yang disampaikan Ketua Setiausaha (KSU) Mohd Khairul Asib Abd Rahman dalam satu majlis di JPJ Putrajaya semalam (kelmarin),” katanya.

Turut bersama pada majlis sempena himpunan bulanan JPJ itu ialah Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharudddin Khalid dan Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Mat Yasin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 8:06 AM