Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my


BAYARAN haji yang perlu dibayar jemaah haji negara ini kekal sebanyak RM9,980 bagi musim haji tahun ini biarpun berlaku kenaikan daripada kos sebenar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, kos sebenar haji meningkat kepada RM22,900 berbanding RM22,450 pada musim haji lalu.

“Tabung Haji (TH) berusaha menanggung subsidi lebih daripada RM306 juta susulan peningkatan kos haji tahun ini.

“Dalam tempoh 10 tahun ini, TH menanggung subsidi melebihi RM1 bilion,” katanya dalam sidang media di Menara TH, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh, Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Md Nor Yusof dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Zukri Samat.

Ditanya mengenai pemberian hibah, Dr Mujahid berkata, pihaknya memberi jaminan pengekalan subsidi tidak akan mengganggu pemberian hibah yang dijangka akan diumumkan hujung Februari atau awal Mac depan.

“Subsidi ini tidak akan mengganggu bayaran hibah. Ketika ini kita masih mampu mengekalkan imbangan kewangan walaupun dengan pemberian subsidi kepada jemaah haji,” katanya.

Mengenai kuota haji, Dr Mujahid berkata, hasil perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi sebelum ini memaklumkan kuota jemaah untuk tahun ini dikekalkan kepada 30,200 jemaah.

“Kita cuba meminta kuota dinaikkan kepada 31,300 jemaah tetapi kekangan daripada pihak sana (kerajaan Arab Saudi).

“Malah, berkenaan dengan rayuan haji, ia akan berjalan seperti biasa, namun sebarang keputusan mengenainya akan mengambil kira prinsip istito’ah (kemampuan) dalam pertimbangan untuk meluluskan rayuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 4:36 PM
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, ketika majlis Sidang Media di Dewan Besar, Menara Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali