KEADAAN tayar van EMRS yang hanya tinggal rim pada hari kejadian rusuhan.
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli dan Suraya Roslan
am@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Koroner di sini, bahawa dia beranggapan Muhammad Adib Mohd Kassim ditarik dan dipukul sekumpulan perusuh dalam insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Saksi inkues ketiga, Ahmad Shahril Othman, 36, berkata demikian dalam prosiding hari kedua inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib di Mahkamah Koroner, semalam.

Menurut Ahmad Shahril, dia berasakan perkara itu terjadi kepada Muhammad Adib berdasarkan keadaan van yang mereka naiki serta jentera Fire Rescue Team (FRT) yang rosak teruk berikutan kejadian itu.

Katanya, perilaku perusuh itu berkemungkinan terjadi susulan mereka turut cuba membuka pintu EMRS yang dipandunya dengan tujuan menyerang dan mencederakannya.

“Saya beranggapan jika pintu (kenderaan) saya cuba diceroboh oleh perusuh yang membukanya, mereka bertujuan memukul dan mencederakan saya.

“Jika jentera bomba boleh dirosakkan macam itu, saya beranggapan mesti mereka (perusuh) boleh membuat perkara sama kepada anggota bomba,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah.

Terdahulu, Ahmad Shahril membacakan semula laporan polis yang dibuat penyelianya, Badrul Hisham Salleh di Balai Polis Seksyen 17, Subang Jaya berhubung kejadian yang menimpa dirinya dan Muhammad Adib pada malam kekecohan di kuil itu.

HAMDAN : Siapa yang membuat laporan polis di Balai Polis SS17 Subang Jaya?

SHAHRIL : Penyelia saya iaitu Badrul (Hisham Salleh).

HAMDAN : Laporan polis yang dibuat Badrul, adakah kamu berbincang berhubung bagaimana isi kandungan laporan polis?

SHAHRIL : Tiada perbincangan.

HAMDAN : Jadi?

SHAHRIL : Badrul bertanya keadaan ketika itu dan membuat laporan polis berdasarkan jawapan saya

HAMDAN : Laporan berdasarkan apa yang kamu tahu?

SHAHRIL : Ya.

HAMDAN : Selepas Badrul membuat laporan polis, ada membaca laporan tak?

SHAHRIL : Ya, ada.

  • Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 7:43 AM