Solihah berharap anaknya disemadikan segera. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
am@hmetro.com.my

“SAYA harap anak dapat dikebumikan segera. Kami sekeluarga sudah menerima hakikat dan reda dengan pemergiannya, (tapi) harap dapat semadikannya seperti jenazah lain dan ingin baca Yassin kepadanya,” luah Solihah Abdullah, 35.

Ibu kepada Siti Masitah Ibrahim, 11 yang dibunuh kejam pada 30 Januari lalu berharap proses bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dapat disegerakan pihak polis demi memastikan jenazah dapat dikebumikan dalam masa terdekat.

Katanya, dia juga enggan memikirkan soal pelaku yang menyebabkan arwah anaknya menderita, malah menganggap isu itu sudah selesai.

“Apa yang penting, kami ingin tuntut jenazah Siti Masitah di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan kebumikannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mayat Siti Masitah ditemui penduduk kampung pada 5 petang Sabtu lalu di kawasan belukar Kampung Tanjung Medang Hilir dalam keadaan tidak sempurna selepas dilaporkan hilang pada 30 Januari lalu.

Susulan itu, suspek lelaki berusia 23 tahun ditahan beberapa jam selepas ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Pekan pada 11 malam, hari sama laporan kehilangan dibuat.

Siasatan polis mendapati kematian Siti Masitah disebabkan kecederaan parah di kepalanya dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul dan suspek mengaku memukul kanak-kanak itu dengan kayu di kepala kerana mendakwa berdendam dan marah dengan keluarga mangsa.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Siti Masitah
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 4:46 PM