A AIDA kecewa dengan pelakon utama drama Dia Menantu Rahsia yang tidak membantu promosi drama terbitannya. FOTO Ihsan A Aida
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


“INI pengalaman terburuk sepanjang lebih 20 tahun terbabit dalam bidang penerbitan apabila ada antara pelakon utama drama tidak membantu mempromosikan drama lakonan mereka.”

Itu kata penerbit terkenal, Datuk A Aida berhubung sikap pelakon utama drama Dia Menantu Rahsia yang kini ditayangkan di slot Akasia, TV3 didakwa tidak memberikan kerjasama dari segi promosi drama itu di laman sosial masing-masing.

Aida, 49, atau nama sebenarnya Zaidah Awang berkata, sikap pelakon terbabit membuatkan dirinya kecewa dan serik untuk bekerjasama lagi.

Menurutnya, dalam kontrak memang ada tulis pelakon utama perlu mempromosikannya di media sosial, justeru boleh saja jika dia mahu menyaman mereka.

“Tapi saya kasihan. Jadi, jalan terbaik adalah senarai hitam nama mereka daripada produksi saya.

“Sebagai Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) saya akan maklumkan pada ahli supaya jangan ambil artis yang tidak bagi kerjasama. Itu saja cara nak ajar mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, jika bukan pelakon utama yang membantu promosi drama lakonan sendiri siapa lagi hendak diharapkan.

“Memang stesen televisyen ada buat promo setiap hari, tapi alangkah bagus jika mereka turut sama buat promosi. Apatah lagi, mereka memiliki pengikut di Instagram yang ramai.

“Kejayaan sesebuah drama bukan saja pada jalan cerita dan lakonan, tapi juga kerjasama berpasukan. Kalau ini pun mereka berat hati nak tolong, susahlah. Saya pun tak nak lagi bekerjasama,” katanya.

Aida berkata, kejayaan dramanya sebelum ini seperti Andainya Takdir, Lambaian Ramadan dan beberapa lagi turut dibantu pelakon yang rajin membuat promosi di Instagram dan laman sosial lain.

Menurutnya dia bukan mahu membuat perbandingan, tetapi itu hakikat yang sedang berlaku sekarang, sedangkan selama ini ramai memberikan kerjasama serta saling membantu.

“Namun, untuk drama ini, sejujurnya saya sangat kecewa. Malah bukan saja dalam kalangan beberapa pelakon tetapi keseluruhan pasukan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya dia berharap drama itu boleh berjaya seperti drama terbitannya yang lain.

“Hari ini sudah masuk episod ke-11. Kalau boleh, saya nak drama ini pun berjaya seperti drama lain dan yang ditayangkan menerusi slot ini sebelumnya.

“Kalau drama ini menjadi fenomena dan sebutan, bukan saya seorang dapat nama tetapi pelakon serta semua yang terbabit. Mungkin selepas ini ada lebih banyak tawaran yang datang,” katanya.

Ditanya siapakah pelakon terbabit, Aida enggan mendedahkan nama kerana biar mereka sedar sendiri ibaratnya siapa makan cili dia terasa pedas.

Drama arahan Pali Yahaya itu menampilkan barisan pelakon seperti Ashraf Muslim, Rasya Rizrose, Mona Allen, Fazlina Ahmad Daud, Wilma Mohamad dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 1:56 PM