KEADAAN jentera bomba yang diserang sekumpulan lelaki dalam rusuhan di sekitar Kuil Maha Mariamman.

SHAH ALAM: Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kasim masih berada di dalam van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ketika jentera Fire Rescue Tender (FRT) berundur dalam kejadian diserang sekumpulan orang awam di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Seafield, Subang Jaya, pada 27 November tahun lalu.

Pemandu van EMRS, Ahmad Shahril Othman, 36, berkata ketika jentera FRT berkenaan berundur ia seolah-olah menolak kenderaan yang sedang dipandunya.

Beliau yang juga pegawai perubatan berkata, ketika itu Muhammad Adib berada di sebelahnya dan mereka berkomunikasi ketika itu.

“Saya masih berkomunikasi dengan Muhammad Adib di dalam van EMRS itu dan sempat berkata ‘lajunya si Azim’ (Mohd Hazim Mohd Rahimi), anggota bomba yang ketika itu keluar daripada jentera FRT untuk mengambil alat memadam kebakaran.

“Namun, dia (Muhamad Adib) tidak menjawab sepatah pun,” kata saksi ketiga inkues kematian Muhammad Adib ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah.

Menceritakan lanjut keadaan ketika itu, beliau berkata Muhammad Adib hanya tercengang dan tangan kanannya memegang papan pemuka hadapan kereta dan tangan kiri diletakkan di pintu van.

Terdahulu, saksi itu berkata, pada hari kejadian apabila sampai di lokasi kebakaran, beliau melihat sekumpulan orang ramai berada di kiri dan kanan van itu manakala kebakaran berlaku di sebelah kiri.

HAMDAN: Apakah reaksi kamu berhubung keadaan di sana?

AHMAD SHAHRIL: Keadaan riuh rendah

HAMDAN: Apa butir (percakapan)?

AHMAD SHAHRIL: Tak dengar.

HAMDAN: Kemudian?

AHMAD SHAHRIL: Kemudian, saya melihat anggota bomba, Mohd Hazim Mohd Rahimi keluar di pintu kanan jentera ke bahagian loker di sebelah kiri belakang kenderaan itu

HAMDAN: Mengambil apa?

AHMAD SHAHRIL: Alat bagi memadam kebakaran, gegelungpaip air

HAMDAN: Ketika itu Mohd Hazim memakai baju apa?

AHMAD SHAHRIL: Mohd Hazim memakai fire jacket yang kebiasaannya dipakai anggota bomba ketika memadam kebakaran.


Jentera FRT milik BBP Subang Jaya mengalami kerosakan apabila perusuh bertindak memecah cermin hadapan serta belakang selain cermin tingkap jentera di sisi kiri dan kanan dalam kejadian di sekitar Kuil Maha Mariamman.

Mengulas lanjut, beliau berkata, namun belum sempat Mohd Hazim menarik gegelung paip itu, beliau diserbu sekumpulan orang awam dan tidak nampak kelibatnya selepas itu.

Menurutnya, beliau tidak tahu ke mana dia (Hazim) pergi, tetapi nampak orang awam menghala ke arah belakang EMRS dari kedua-dua arah.

“Malah, ketika FRT mengundur dan melanggar bahagian depan EMRS, secara tiba-tiba ada sekumpulan orang awam dari sisi pemandu mengetuk cermin dan cuba membuka pintu,” katanya.

Sementara itu, saksi kedua yang juga pemandu jentera FRT Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Md Elliza Mohd Noor berkata, jenteranya diserang sekumpulan 50 lelaki ketika tiba untuk memadam kebakaran sebuah kereta di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November lalu.

Ia menyebabkan penyelia operasi memerintahkan anggotanya supaya tidak keluar dari kenderaan berkenaan, atas faktor keselamatan.

Dia berkata, sebaik tiba di lokasi, kumpulan lelaki terbabit dilihat menghampiri jentera dan menjerit supaya bomba pulang dan tidak memadamkan kebakaran di kawasan kuil berkenaan.

“Sampai di lokasi, saya tak lakukan tugas sebagai pump operator kerana ada pergerakan sekumpulan lebih 50 orang datang sambil jerit ‘jangan padamkan kebakaran itu, sambil menuju ke jentera kami.’

“Tak sampai lima hingga 10 saat, saya dapati ketukan pertama di cermin depan dan diikuti balingan objek seperti batu-bata dan helmet.

“Saya dapat lihat dua atau tiga orang awam berlari di sebelah kiri jentera saya ke arah belakang dan saya tak tahu untuk tujuan apa,” katanya.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan pegawai pengendali, Hamdan Hamzah pada hari pertama inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner di sini.

Md Elliza berkata, akibat ketukan berkenaan, cermin jentera FRT menjadi retak, pecah dan ‘lembik’.

Terdahulu, saksi sama berkata, operasi memadamkan kebakaran kereta di kuil berkenaan membabitkan sebuah jentera FRT dengan kekuatan tujuh anggota termasuk penyelia dan sebuah van EMRS yang dinaiki dua orang termasuk Muhammad Adib.

Kedua-duanya dari BBP Subang Jaya.

Ketika ditanya Hamdan sama ada dia melihat dua anggota bomba keluar dari kenderaan, Md Elliza berkata, dia tidak tahu kerana matanya ketika itu melihat pergerakan orang awam yang meluru ke arah jentera dipandunya.


UNIT Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Anggota Polis berkumpul di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25.

HAMDAN: Apa kamu dengar daripada orang awam yang datang?

MD ELLIZA: Orang awam jerit jangan padam kebakaran itu, dia cakap bomba balik, jangan padam.

HAMDAN: Kamu dengar satu kali atau banyak kali.

MD ELLIZA: Banyak kali.

HAMDAN: Apa jadi selepas itu?

MD ELLIZA: Lepas cermin pecah, saya takut...secara spontan saya mengundur ke belakang.

HAMDAN: Di mana kedudukan van EMRS pada masa itu?

MD ELLIZA: Belakang jentera. Tetapi saya tidak tahu berapa jarak dia.

Sementara itu, ketika melakonkan semula kejadian, Md Elliza berkata, ada seorang lelaki secara tiba-tiba berlari dari sekumpulan kira-kira 50 lelaki berkenaan sebelum mengetuk cermin jentera dengan objek seperti besi.

“Selepas ketukan itu, objek batu-bata dan yang tidak dikenal pasti dilontarkan,” katanya.

Sebelum itu, saksi pertama, Ketua Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya Deputi Superintendan Mohamad Nasir Drahman berkata, FRT yang tiba untuk memadam kebakaran di Kuil Sri Maha Mariamman USJ dikelilingi orang ramai dan dibaling dengan objek keras sehingga pecah cermin hadapan.

Katanya, jentera itu kemudian berundur dan melanggar van ERMS sebelum ke hadapan dan kembali mengundur, mengundur hingga hilang daripada penglihatannya.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

Prosiding inkues di Mahkamah Koroner Shah Alam di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok.

  • Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 8:28 AM