KIM Swee bersama sebahagian pemain selepas sesi latihan persiapan menghadapi Kejuaraan B-22 di Phnom Penh, Kemboja pada 17 hingga 26 Februari ini.
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Bagaikan meminta sedekah apabila hasrat (B-22) Datuk Ong Kim Swee memanggil beberapa pemain bagi menyertai kem latihan sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan Piala AFF B-22 di Kemboja tidak dilayan pengendali kelab.

Malah Kim Swee turut menempelak pengendali Terengganu FC ll (TFC II) kerana enggan melayan permintaan, selain tidak memberikan sebarang maklum balas untuk melepaskan seorang pemain mereka demi menguatkan lagi skuad B-22.

Katanya, daripada tiga pemain baharu yang dipanggil, dua daripada mereka iaitu masing-masing pemain Negeri Sembilan, Muhamad Danish Haziq Saipul Hisham dan PJ City K Thivendran hadir ke kem latihan semalam.

“Saya tidak melenting atau marah apabila pengurusan kelab tidak mahu melepaskan pemain masing-masing mewakili skuad kebangsaan kerana ada alternatif lain bagi mengisi kekosongan itu.

“Namun, janganlah sampai panggilan dan pesanan ringkas yang dihantar tidak dilayan langsung atau tidak memberikan maklum balas berkaitan perkara itu,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di padang Majlis Sukan Negara (MSN), di Bukit Jalil.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan lima pemain tidak dilepaskan pengurusan kelab masing-masing bagi menjalani sesi latihan pertama skuad B-22 sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan Piala AFF B-22 di Kemboja, Ahad ini.

Lima pemain yang tidak dilepaskan itu adalah Syahmi Safari dari Selangor, Danial Amier Norhisham dan Zahril Azri Zabri dari FELDA United, Fadzrul Danel Nizam dari Kedah serta Faizal Halim dari Pahang.

Selain itu, Kim Swee berkata, Muhammad Danish Haziq dan Thivendran akan menguatkan lagi barisan skuad B-22 seterusnya diharap mampu menggalas cabaran terutama di bahagian tengah pasukan.

“Saya juga tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa pemain lagi untuk mengisi kekosongan namun bergantung kepada keadaan pasukan,” katanya.

Sementara itu, Thivendran berkata, pengurusan PJ City tiada masalah melepaskannya mewakili pasukan kebangsaan, malah turut memberi sokongan dalam mengharungi kejohanan terbabit.

“Pengurusan tiada masalah melepaskan saya malah menyokong seterusnya mahu saya berikan terbaik untuk pasukan B-22,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 7:34 AM