GEORGE sejak lahir sampai sekarang. FOTO/DAILYMAIL
Agensi

LONDON: Bayi pramatang yang ketika dilahirkan dengan berat tidak sampai 500 gram, iaitu sebesar picagari menunjukkan kekuatan luar biasa apabila masih hidup selepas enam bulan dilahirkan walaupun sudah lima kali hampir maut dan enam kali menjalani pembedahan.

Menurut laporan Daily Mail, bayi lelaki bernama George yang dilahirkan tiga bulan lebih awal pada Julai tahun lalu, sudah menjalani lebih 20 kali pemindahan darah serta beberapa kali pembedahan.

Ibunya, Hanna Rose, 25, dan pasangannya, Daniel Bownes, 27, hampir putus harapan selepas diberitahu bayi mereka akan mati akibat meningitis dan sepsis namun menakjubkan kerana George terus hidup dan bayi itu yang kini berusia sembilan bulan semakin sihat.

Hanna berkata, enam minit selepas dilahirkan, George terus dimasukkan ke dalam inkubator di unit rawatan rapi.

“Dia terus dibedah selepas itu. Kami tidak boleh menyentuhnya kerana dia dilahirkan dengan kulit yang amat sensitif,” katanya.

George mengalami usus mati atau ‘necrotizing enterocolitis (NEC)’ yang biasanya berlaku kepada bayi pra- matang menyebabkan organ lain bermasalah termasuk hati membengkak selain kehilangan darah.


SEORANG bayi cekal, George yang dilahirkan secara pra matang

Akibat kelahiran pramatang juga, George mengalami meningitis dan sepsis, sekali gus peluang untuknya hidup amat tipis.

Pasangan itu diberitahu oleh hospital bahawa doktor sudah tidak mampu untuk melakukan apa-apa bagi menyelamatkan George.

Bagaimanapun, mereka terkejut apabila bacaan nadi bayi itu semakin baik walaupun jangkitan dialaminya agak teruk dan sukar untuk pulih.

“Melihat keadaan George sekarang, ia seperti keajaiban kerana semua orang termasuk kami yakin dia tidak hidup lama,” kata Hanna.

Bayi itu yang kini mempunyai berat kira-kira 2.72 kilogram menjalani proses pemulihan di rumah namun masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Ibu bapa bayi itu juga berusaha mencari dana melalui GoFundMe bagi menampung kos fisioterapi George setiap dua minggu dan bayi itu juga dijangka menjalani pembedahan kali ketujuh pada jantungnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 7:01 AM