DR Mohamad Omar bersama Machine Stress Grader hasil perisiannya diilhamkan beliau.
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Lazimnya peralatan rosak akan menjadi bahan buangan namun berlainan dengan Dr Mohamad Omar Mohamad Khaidzir yang sedaya upaya membaik pulih dan memberi nafas baharu kepada peralatan lama itu hingga dapat digunakan semula.

Beliau turut memanfaatkan kemahirannya itu menaik taraf alat pengujian kayu vintaj di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) kepada sistem komputer bagi membolehkan mesin itu beroperasi secara automatik dalam menjalankan ujian spesimen kayu.

Sentuhannya itu membolehkan mesin pengujian kayu era British masih lagi berada dalam keadaan baik dan berfungsi di Makmal Kejuruteraan Kayu FRIM bagi menentukan nilai fizikal dan mekanikal (kekuatan dan elastik) kayu-kayan di Malaysia hingga datanya diperakui seluruh dunia.

Beliau turut memulakan ciptaan baharu pada 2010 menerusi sistem pengujian tanpa kemusnahan (NDT) dengan menggunakan konsep ketukan bunyi untuk mengetahui kekuatan kayu tanpa mematahkan kayu itu.

Selain itu, tahun lalu, beliau memberikan idea dalam olahan perisian Machine Stress Grader untuk menggredkan kayu secara berterusan dalam tempoh cepat bagi kegunaan pihak industri.

Dr Mohamad Omar yang memegang jawatan sebagai Ketua Program Kualiti dan Kejuruteraan Kayu FRIM berkata, aktiviti membaik pulih barangan rosak dan lama adalah hobinya sejak kecil.

“Saya minat buat eksperimen yang terdapat dalam buku sains di sekolah dengan menggunakan bahan sedia ada di rumah dan dari situ, saya mula memahami proses pergerakan sesuatu alat dan mesin.

“Banyak barangan di rumah seperti televisyen, radio, komputer, mainan kanak-kanak, kipas, dapur jika rosak saya tidak buang sebaliknya akan baikinya supaya dapat digunakan semula,” katanya.

Menurutnya, ketika bertugas di FRIM, dia mendapat idea untuk memberi nafas baru kepada alat pengujian kayu yang dicipta pada era British.

“Pengurusan FRIM membuat keputusan mesin atau alat pengujian kayu lama itu dibuka untuk dijadikan tugu peringatan di FRIM.

“Saya memohon kepada Ketua Pengarah FRIM supaya beri saya peluang untuk melakukan sedikit pengubah suaian kepada alat pengujian Buckton Universal Testing Machine berusia 97 tahun itu.

“Akhirnya, saya buktikan alat yang pada mulanya digerakkan dengan elektrik atau hidrolik itu dapat disambungkan kepada sistem komputer,” katanya.

Katanya, cabaran utama dalam pengubahsuaian itu apabila dia tiada pengetahuan asas dalam pengaturcaraan komputer sebaliknya hanya berpandukan kepada bahan bacaan semata-mata.

“Saya belajar sendiri menulis perisian menggunakan perantara muka antara komputer untuk menghubungkan perisian komputer kepada mesin lama itu.

“Saya sudah bermula sejak era 1990-an, tetapi Windows berubah-ubah jadi saya sentiasa mengemas kini perisian mengikut era komputer.

“Satu lagi peristiwa tidak akan dilupakan, pernah pada 1993, saya buntu, tetapi akhirnya Allah ilhamkan saya idea kod aturcara komputer menerusi mimpi,” katanya.

Dr Mohamad Omar berkata, sepanjang 30 tahun bertugas di FRIM dia sudah menaik taraf tiga alat pengujian vintaj berusia antara 40 hingga 97 tahun kepada sistem komputer.

“Sebelum ada komputer, pekerja di makmal menggunakan cara manual dalam merekod data bagi menentukan nilai kekuatan dan elastik kayu.

“Tetapi, menerusi sistem komputer ia membantu mempercepatkan proses menentukan ketepatan nilai bacaan pada kayu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 8:01 AM