Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan melakukan siasatan berhubung dakwaan pembabitan bookie cuba merasuah pemain kelab yang berdepan masalah tunggakan gaji.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Kementerian tidak dapat menerima perlakuan itu sekiranya ia benar-benar berlaku di sebalik kesempitan yang dihadapi pemain bola sepak terbabit.

“Masalah bookie ini memang kita banteras berhabis-habisan. Kalau ada sebarang maklumat tolong laporkan segera.

“Kami juga akan cuba membuat siasatan tersendiri bekerjasama dengan kelab dan juga pemain. Kita mesti tentang mereka ini kerana ia sesuatu yang tidak boleh diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Tukar Minyak Hitam Motosikal Percuma di Balai Raya Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang sempena lawatan kerja rasmi beliau di Semenyih, hari ini.

Laporan ekslusif Metro Ahad, hari ini mendedahkan pengakuan seorang bekas pemain yang sebelum ini beraksi di Liga Perdana dia pernah didekati bookie selepas mengetahui kemelut tunggakan gaji yang dialami pasukannya.

Dia yang hampir sedekad berkecimpung dalam arena bola sepak tempatan, terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kerjaya yang ‘dicintainya’ itu selepas serik menjadi mangsa bekas majikannya yang tidak membayar sesen pun gajinya musim lalu.

Katanya, bookie sentiasa memantau perkembangan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) dan cuba mencari peluang untuk ‘menyuap’ mana-mana pemain yang dilihat terdesak bagi mengatur keputusan perlawanan terutama kepada pasukan yang mengalami masalah gaji.

habis.

Berita berkaitan:

  • Tunggu masa 'suap' pemain
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 3:50 PM
    SYED Saddiq ketika sidang media selepas tiba di Balai Raya Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang sempena lawatan rasmi ke Daerah Hulu Langat. FOTO Rosela Ismail