PERODUA Myvi mangsa terbalik dalam kemalangan di Jalan Tanah Merah-Pasir Mas. FOTO ihsan pembaca
Siti Nor Hidayatidayu Razali dan Siti Rohana Idris
cnews@nstp.com.my


TIGA beradik yang menaiki Perodua Myvi maut dalam kemalangan dengan sebuah Proton Wira di Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, dekat Bukit Tuku, Pasir Mas, Kota Bharu, hari ini.

Kejadian jam 1 tengah hari menyebabkan tiga beradik perempuan berusia 10 hingga 24 tahun maut.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, dalam kejadian itu, pemandu Proton Wira berusia 20-an parah.

Katanya, kemalangan berlaku apabila Proton Wira dari arah Pasir Mas ke Tanah Merah cuba memotong kenderaan tetapi gagal dan masuk ke lorong bertentangan.

Katanya, pada masa sama Perodua Myvi mangsa berada di lorong bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, dua mangsa maut di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia di Hospital Pasir Mas.

“Pemandu Proton Wira yang parah turut dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 5:54 PM