CHEONG Wing Khoon (tengah) bergambar bersama penghuni yang lain, berkorban tidak balik kampung menyertai jamuan 'Makan Besar' di Pusat Jagaan Kebajikan Istimewa Lelaki Segamat, Kampung Jawa. FOTO/AHMAD ISMAIL
Ahmad Ismail
am@hmetro.com.my


SEGAMAT: Demi kegembiraan 30 penghuni istimewa, seorang penyelia pusat kebajikan sanggup mengorbankan masanya sendiri daripada menghadiri jamuan makan besar bersama keluarganya di kampung.

Sejak 12 tahun lalu, Cheong Wing Khoon, 58, tidak pulang ke Pulau Pinang untuk menyertai jamuan makan besar keluarganya, sebaliknya meraikan jamuan itu bersama ‘keluarganya’ di Pusat Jagaan Kebajikan Istimewa Lelaki Segamat di Kampung Jawa.

Cheong yang juga penyelia pusat jagaan itu sanggup berkorban semata-mata mahu memastikan persiapan majlis makan besar untuk 30 penghuni berjalan lancar dan hanya pulang bertemu keluarga pada hari keraian lain.

“Selaku penyelia, saya tidak sampai hati meninggalkan 30 penghuni lelaki berusia 30 hingga 82 tahun membabitkan orang kurang upaya (OKU), lumpuh, tiada waris dan keluarga kurang berkemampuan untuk menyambut malam Tahun Baharu Cina sendiri.

“Sebab itu saya meraikan bersama mereka bagi memastikan suasana ceria walaupun tanpa insan tersayang.

“Kami bagaikan keluarga besar dan berkongsi susah serta senang bersama sejak puluhan tahun lalu, malah kami memanggil gelaran papa, abang dan adik dalam kehidupan harian serta turut membantu saya memasak, membasuh pakaian dan beriadah bersama-sama,” katanya.

Cheong berkata, bagi menjiwai ketibaan Tahun Baharu Cina, semua penghuni menulis serta bertukar kad ucapan dan paling mengharukan, ada yang mengalirkan air mata kerana terharu.

“Biasanya kami akan bekerjasama menghias persekitaran dengan mengantung tanglung dan menggunting rambut,” katanya.

Menurutnya, pusat jagaan itu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat dan dipantau Pejabat Kesihatan Segamat manakala kos pengurusan hasil sumbangan pelbagai pihak.

“Penghuni dari sekitar Segamat, Tangkak, Pulau Pinang dan Kedah diberikan hidangan lima kali sehari dan antara aktiviti Tahun Baharu Cina termasuk pertandingan dam, catur serta mengupas limau,” katanya.

Penghuni, Ng Yee Cheong dari Kuala Lumpur, 59, mengakui sudah menghuni pusat berkenaan sejak tujuh tahun lalu dan gembira setiap kali menyambut Tahun Baru Cina.

“Kami lebih faham apa dilalui masing-masing kerana mempunyai latar belakang keluarga yang hampir sama.

“Kami tidak menyalahkan sesiapa dan berharap ahli keluarga gembira bersama keluarga masing-masing, bagi saya ini keluarga saya sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 9:09 AM
Skip this ad x