SERPIHAN pesawat yang jatuh di satu kawasan perumahan di Yorba Linda pinggir California. FOTO Reuters
Agensi

SACRAMENTO (AS): Lima maut dengan dua daripadanya penghuni sebuah rumah akibat dihempap pesawat ringan yang terhempas di satu kawasan perumahan di bandar Yorba Linda, California, kelmarin.

Asap tebal kelihatan menjulang dari lubang bumbung rumah yang terbakar selepas pesawat itu dipercayai jenis sebagai Cessna, terhempas di atas kediaman berkenaan.

CNN melaporkan jurucakap Jabatan Sherif Daerah Orange, Leftenan Kolonel Cory Martino berkata, nahas mengorbankan dua pemilik rumah dan dua individu lagi.

Martino mengesahkan juruterbang berkenaan adalah mangsa kelima yang terbunuh.

Polis tidak mendedahkan identiti mangsa kerana belum memaklumkan kejadian kepada ahli keluarga mereka.

Penyiasat kemalangan penerbangan di Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, Eliott Simpson memberitahu, serpihan bangkai pesawat ditemui bertaburan, menunjukkan kapal terbang itu berkecai di udara sebelum terhempas.

“Berdasarkan serpihan dan video yang saya lihat, pesawat itu berkecai pada peringkat akhir penerbangan,” katanya.

Data awal radar menunjukkan pesawat itu melencong ke kiri, naik ke 2,377 meter.

BBC yang memetik LA Times melaporkan pesawat itu kemudian menjunam laju ke kawasan kediaman di Yorba Linda.

“Kami dalam proses mendokumenkan serpihan dan bangkai pesawat.

“Kabin utama pesawat serta enjin jatuh di halaman belakang sebuah rumah,” kata Simpson.

Seorang penduduk Yorba Linda, Dave Elfver, berkata, pada awalnya dia menyangka letupan kuat dan gegaran yang dirasainya disebabkan gempa bumi.

“Saya menyangka ia gempa bumi kerana seluruh rumah bergegar, enjin jatuh di tengah jalan kira-kira 15 meter dari rumah saya.

“Kejadian itu amat menakutkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 6:31 AM