IRMA kini lebih aktif dalam aktiviti kemanusiaan dan pembangunan. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


SELEPAS lama membabitkan diri dengan Islamic Relief Malaysia (IRM), selebriti Irma Hasmie kini secara rasminya dilantik sebagai ikon IRM bersama beberapa selebriti lain.

Irma ketika dihubungi berkata, sejak membabitkan diri dengan IRM pada 2011, dia mula terbuka hati untuk lebih aktif dalam organisasi bebas membabitkan kemanusiaan dan pembangunan seperti yang dilakukan IRM.

“Selepas sesi pengenalan IRM, secara perlahan-lahan saya belajar apa itu sukarelawan dan aktiviti yang dilakukan.

“Saya manfaatkan peluang sebagai selebriti dan orang yang dikenali dalam setiap program kesedaran dengan menyebarkan pelbagai maklumat mengenai IRM,” katanya.

Selain Irma, selebriti lain ialah Diana Amir, Kumpulan Saujana, Ashraf Muslim dan ElFaezah UlHaq.

Berkongsi penga­lamannya selama menyertai IRM, Irma berkata, dia pernah terbabit dalam program bersama kanak-kanak orang kurang upaya (OKU), rumah jagaan pesakit AIDS, rumah orang tua, anak asnaf dan rumah anak yatim.

Perkara itu dilakukan bagi menghebahkan bantuan projek binaan telaga air di Somalia, program ‘charity shoppe’ apabila pihaknya menerima dan kemudian menjual barangan ‘preloved’ dan hasil jualan akan terus disalurkan ke tabung dana IRM.


IRMA kagum dengan kesabaran kakitangan IRM. FOTO Zulfadhli Zulkifli

“Untuk program luar negara, tahun lalu saya ke Marawi, Filipina. Saya berpeluang masuk ke kawasan ‘ground zero’ di kawasan Marawi City yang musnah teruk dan digelar Asia Gaza City.

“Saya juga berpeluang menemui mangsa di kem sementara mereka,” katanya.

Dalam pada itu, bercakap mengenai peranannya selepas menjadi ikon IRM, Irma berkata, ia masih sama ketika awal pembabitannya.

Bezanya kali ini, banyak perkara yang didedahkan dengan ilmu baru termasuk pengenalan Islamic Relief, perkongsian aktiviti setiap bahagian IRM serta apa yang boleh dilakukan serta dilarang dalam perspektif kemanusiaan.

“Banyak perkara baru dapat saya pelajari. Kami diberikan taklimat secara langsung daripada Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin dan barisan kakitangan IRM mewakili setiap bahagian.

“Kami sangat kagum dengan IRM terutama kesabaran mereka bekerja. Itulah yang kami nak belajar sebenarnya.

“Kami baru bertatih dalam dunia kemanusiaan. Saya meletakkan diri sebagai orang yang baru dalam IRM. Jadi, saya berharap terus diberikan bimbingan oleh IRM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 6:01 AM