NABILA hadiri kelas latihan vokal bagi memperbaiki kualiti nyanyian. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


TAMPIL dengan lagu baru berjudul Vroom Vroom, penyanyi dan pelakon Nabila Razali tidak pernah peduli dengan pandangan segelintir masyarakat yang melabelnya sebagai insan seni picisan disebabkan vokalnya.

Walaupun menerima pelbagai reaksi negatif baru-baru ini, Nabila tetap menyimpan impian untuk menggenggam anugerah sama seperti anak seni lain.

Kata wanita yang dicungkil bakat menerusi pertandingan Akademi Fantasia pada 2013, dia sebenarnya pernah hampir berputus asa meneruskan karier seni kerana terlalu memikirkan kata-kata orang lain.

“Saya akui pernah hampir putus asa kerana terlalu memikirkan penerimaan serta kata-kata orang sekeliling. Saya rasa kecewa dan sedih kerana terlalu susah untuk puaskan hati semua orang.

“Apa yang boleh saya lakukan adalah terus memperbaiki diri dan berusaha melakukan sebaik mung­kin. Walaupun lagu yang dipertaruhkan itu mendapat kritikan saya juga sama seperti penyanyi lain yang ingin menang anugerah,” katanya.

Terlalu banyak kata-kata kesat yang diterima daripada netizen. Ada yang mengatakan suaranya ‘hancur’ dan ‘bodoh’. Malahan, ada juga yang mencadangkana agar dia berhenti menyanyi dan teruskan berlakon.

Adakalanya, hati kecil Nabila terguris dek komen sesetengah netizen yang keterlaluan. Namun, wanita itu cekalkan hati dan menerimanya dengan hati terbuka serta dijadikan pembakar semangat untuk jadi lebih baik.


KEKAL mendapatkan khidmat dari Hael Hussaini dan Ezra Kong. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

“Walaupun ada pihak menghentam teruk tetapi masih ada lagi yang setia memberikan sokongan dan kata-kata semangat agar saya meneruskan karier seni. Saya ambil kritikan itu sebagai pedoman untuk memperbaiki diri.

“Di laman sosial, memang agak ramai menyarankan agar saya berhenti nyanyi dan fokus pada kerjaya lakonan saja. Bagaimanapun, saya akan terus lakukan apa yang saya suka,” katanya.

Sama seperti single pertama berjudul Pematah Hati, Nabila kekal mendapatkan khidmat dari Hael Hussaini dan Ezra Kong untuk lagu keduanya itu.

Kata Nabila, dia selesa bekerja dengan dua anak seni itu selain mereka juga menghasilkan lagu sesuai dengan vokalnya.

Mengakui vokalnya masih ada kelemahan, dia mencari lagu yang mampu dinyanyikan.

“Saya sendiri tahu setakat mana kemampuan vokal. Saya tidak perlu paksa diri untuk menyanyikan lagu balada mahupun bernada tinggi kerana tahu tidak mampu berbuat sedemikian.

“Bagaimanapun, saya gembira kerana peminat dapat menerima genre dan konsep lagu yang dibawakan. Kalau orang mahu kata vokal masih lemah, saya terima dengan hati terbuka.

“Namun, ia tidak sedikit pun melemahkan semangat saya untuk terus belajar dan meningkatkan bakat. Saya juga masuk kelas latihan vokal bagi memperbaiki kualiti nyanyian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 6:01 AM